wan-muhamad-azraie-wan-teh
Wan Muhamad Azraie Wan Teh

Oleh Muhammad Aiman

Setelah kehilangan salah seorang pemain terbaik mereka musim ini, Safawi Rasid, persiapan T-Team bagi menghadapi saingan musim 2017 menerima satu lagi tamparan apabila dua penjaga gol utama, Muhammad Ilham Amirullah dan Wan Muhamad Azraie Wan Teh turut memilih meninggalkan pasukan.

Ilham yang menampilkan aksi cemerlang di pertengahan musim sehingga berjaya merampas kedudukan penjaga gol utama dari Wan Azraie, dilaporkan telah bersetuju menyarung jersi Felda United manakala Wan Azraie hampir pasti kembali ke pasukan lamanya, Pahang.

“Kami akur dengan keputusan mereka mengubah haluan karier masing-masing walaupun pasukan ini masih memerlukan khidmat mereka. Saingan musim depan sudah tentunya lebih mencabar justeru pengurusan sebolehnya mahu mengekalkan sebahagian besar pemain musim ini,” ujar penolong jurulatih The Titans, Azhari Salim.

“Apapun, kami menghormati setiap keputusan pemain termasuklah Safawi, yang sudah mencapai persetujuan dengan Johor Darul Takzim. Kini kami hanya ada penjaga gol ketiga, Mohd Izzudin Hussin dan perlu diakui ianya bukan mudah untuk mencari penjaga gol baru,” tambahnya lagi.

Dalam masa sama, Azhari turut menyatakan bahawa sehingga kini belum ada kepastian berapa ramai lagi pemain yang sah akan kekal menyarung jersi T-Team mahupun angkat kaki mencari haluan baru.

Pencapaian terbaik T-Team pada musim 2016 adalah mara sehingga ke separuh akhir Piala Malaysia sebelum tewas kepada Selangor dengan agregat 1-4, manakala dalam saingan Liga Super mereka menduduki tempat ketujuh dan tersingkir di pusingan kedua Piala FA.

- Advertisement -