Oleh Ku Mohd Lufti
Perjuangan Malaysia di Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2016 di Arena Bilbao, Sepanyol diteruskan menerusi wakil perseorangan lelaki dan bergu campuran.
Gandingan Chen Tang Jie – Toh Eei Wei terlebih dahulu memberikan khabar gembira buat kem Malaysia selepas melangkah ke separuh akhir dengan menewaskan gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy – Kuhoo Garg.
Diletak selaku pilihan ke 16 kejohanan, Tang Jie dan Eei Wei tewas 13-21 di set pertama namun bangkit untuk mengkiat kedudukan sekaligus mengesahkan slot separuh akhir dengan kemenangan di dua set berikutnya, 21-12,21-19.
Namun cabaran bergu campuran negara ini diperingkat separuh akhir tampak sukar kerana bakal berdepan pilihan pertama kejohanan He Jiting – Du Yue dari China.
Kejayaan bergu campuran negara turut diekori perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang hanya memerlukan 33 minit untuk menamatkan cabaran pemain Perancis, Toma Junior Popov dengan keputusan straight set 21-12, 21-18.
Lawan Zii Jia di separuh akhir nanti adalah pemain kelahiran Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo yang menang ke atas pemain Singapura, Ryan Ng.
Satu lagi wakil negara, yang beraksi dalam acara bergu lelaki, Leong Jun Hao – Ooi Zi Heng gagal melangkah ke suku akhir selepas tewas ditangan pilihan pertama dari China, Han Chengkai – Zhou Hadong 8-21,10-21.