hockey-jr-wc

Oleh Muhammad Aiman

Sepertimana pasukan senior, senjata utama memburu jaringan bagi pasukan remaja negara adalah melalui pukulan sudut penalti tetapi berbeza ceritanya di Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Uttar Pradesh yang sedang berlangsung di Lucknow.

Daripada 12 pukulan sudut penalti yang diperoleh sepanjang tiga perlawanan peringkat Kumpulan B, hanya satu sahaja berjaya disudahkan menerusi Amirul Aideed Arshad ketika kekalahan 2-7 kepada Belanda dan itupun menerusi formasi set-piece, bukannya flik.

Malah ketika kekalahan 0-3 kepada Belgium, Speedy Tigers mendapat empat pukulan sudut penalti namun gagal memanfaatkan walau satu pun peluang tersebut.

Permukaan padang tidak rata Stadium Major Dhyan Chand di Kolej Sukan Guru Gobind Singh yang baru sahaja siap tiga bulan lalu turut menyukarkan hampir kesemua pasukan lain untuk menterjemahkan rentak permainan sebenar mereka.

Dan menjelang aksi menentang New Zealand dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-9/12 esok (Rabu), penolong jurulatih, Muhammad Amin Rahim tidak menyembunyikan rasa bimbang dengan kegagalan barisan pemainnya menyempurnakan pukulan sudut penalti.

“Mereka (pemain) cuba melakukan yang terbaik untuk menghentikan bola selepas melakukan tolakan tetapi permukaan tidak rata menjadikannya sukar. Ini dapat dilihat dengan jelas ketika menentang Belgium terutamanya ketika pukulan pertama yang mana bola melantun. Jadi, fokus kita pada sesi latihan adalah mahu atasi situasi ini,” kata Amin.

Malaysia mempunyai tiga pakar pukulan sudut penalti di dalam pasukan – namun dengan Syed Muhamad Syafiq Syed Cholan tersisih akibat kecederaan ketika menentang Belanda, tanggungjawab sebagai pakar flik ketika berdepan Black Sticks akan digalas Najmi Farizal Jazlan dan Firdaus Omar.

“Jika melihat kepada urutan, Najmi adalah pilihan utama, diikuti Syafiq dan Firdaus. Tetapi pilihan yang kita ada cukup terhad memandangkan Syafiq tidak mendapat pelepasan dari pasukan perubatan untuk turun beraksi.

“Kita tidak akan melakukan apa-apa perubahan pada variasi sudut penalti dan set-piece kerana ianya tidak praktikal di tahap ini,” tambah Amin yang merupakan pakar flik negara suatu masa dahulu.

Pasukan remaja negara menamatkan saingan Kumpulan B di tangga ketiga dengan tiga mata hasil satu kemenangan ke atas Mesir, tatkala tiket ke suku akhir disambar Belgium (sembilan mata) dan Belanda (enam mata).

Untuk rekod, kali terakhir skuad bimbingan Wallace Tan berdepan New Zealand adalah ketika di Kejohanan Remaja Piala Sultan Johor bulan lalu, yang mana mereka menang 2-1 di peringkat kumpulan dan kemudiannya menang 4-1 dalam perlawanan penentuan tempat kelima.

- Advertisement -