
Fajr Ibrahim menarik balik peletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih Kelantan selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Bibi Ramjani Ilias Khan pada Jumaat dan bersedia untuk terus membimbing pasukan itu.
Ia sekaligus meredakan ketegangan di Kem Kelantan yang sebelum ini gempar setelah Fajr yang baru membimbing pasukan sejak lebih kurang dua bulan menyatakan mahu berundur kononnya disebabkan kegagalan untuk mencatat kemenangan dalam tiga aksi yang telah diharungi termasuk tewas kepada Johor Darul Takzim dan PKNP FC.
Namun, bekas jurulatih skuad kebangsaan Syria itu membuat pendedahan (yang sebenarnya tidaklah mengejutkan) bahawa keputusan meletak jawatan selepas aksi PKNP FC dibuat kerana terdapat individu di dalam pengurusan yang tidak sukan dengan ketegasan dan caranya mengendalikan pasukan.
Fajr memberitahu Sports247, “Ada segelintir inidividu yang mahu tengok pasukan ini jatuh. Mereka cuba menentang pembaharuan yang saya bawa. Saya telah diyakinkan oleh Presiden perkara itu tidak akan berulang dan beliau memberi jaminan saya akan dapat meneruskan tugas tanpa campur tangan mana-mana individu dalam pengurusan.
“Bukan cara saya untuk bekerja dengan tunduk kepada sesiapa kecuali Presiden seorang, kerana hanya dia yang menyokong saya dan pasukan hanya dia seorang yang berjuang untuk pasukan ini. Selagi mana tiada campur tangan luar, saya akan terus bersama pasukan ini,” katanya.
Sejak tiba di Kota Bharu pada Mac lalu, Fajr sememangnya telah membuat beberapa keputusan popular dengan menggugurkan ramai pemain tonggak dari pasukan antaranya Norfarhan Muhammad, Khairul Fahmi Che Mat, S.Veenod dan Badhri Radzi manakala Do Dong Hyun pula diberitakan bakal menjadi mangsa terbaru setelah berselisih faham dengannya.
Fajr dilihat lebih berminat mengetengahkan pemain muda dan telah merekrut sekurang-kurangnya tujuh pemain Piala Presiden ke skuad senior termasuklah penjaga gol Fikri Che Soh, pemain tengah Danial Deraman dan penyerang Nik Azli Nik Alias.
Tindakan-tindakan berani Fajr ini termasuklah menekankan aspek disiplin dengan memperkenalkan beberapa peraturan baru ketika latihan, sekaligus mengundang rasa tidak puas hati individu yang dimaksudkan Fajr sebagai ‘tangan ghaib’.
Ironinya, kisah ‘tangan ghaib’ di Kelantan bukanlah satu perkara baru. Ia sudah didendangkan sejak bertahun lamanya – Peter Butler, B.Sathianathan, Azraai Khor Abdullah dan K.Devan adalah antara yang pernah menyuarakan mengenai perkara tersebut namun mereka dikatakan mahu memberi alasan menutup kegagalan.
Sekarang, seorang lagi jurulatih bersuara mengenai perkara sama. Apakah Bibi berani mengambil tindakan membuat pembersihan besar-besaran di dalam pengurusan pada ketika dia sudah tahu kebenarannya? Atau, sekali lagi berdiam diri dengan beranggapan cukup sekadar memberi jaminan asalkan kerja Fajr tidak diganggu? OLEH MUHD AIMAN

































