Juara Piala FAM, Terengganu City berjanji akan menyelesaikan tunggakan gaji dan bonus kepada pemain dan pegawainya paling lewat pada 8 Disember depan, dalam masa sama menafikan bahawa mereka berdepan masalah kewangan kritikal.

Penaungnya Hanafiah Mat berkata, laporan yang tersebar bahawa pemain pasukan itu tidak menerima gaji sehingga lima atau enam bulan adalah tidak benar dan tidak berasas, sebaliknya ia hanyalah tunggakan dua bulan gaji dan sebulan bonus.

“Kita mengaku ada kelewatan di dalam membayar gaji tetapi cek berjumlah keseluruhan RM464,623 sudah dikeluarkan dan dihantar kepada pemain untuk ditunaikan. Selepas ini saya akan pastikan penaja tidak lewat membayar gaji pemain,” katanya.

Hanafiah juga menjelaskan bahawa ada pihak yang sengaja menjadikan isu ini sebagai kesempatan untuk memburukkan nama pasukan.

ā€œKita dah panggil semua pemain, bersemuka, bercakap dengan mereka dan semuanya tiada masalah. Yang menampakkan kita sebagai pasukan yang buruk berhutang sampai lima, enam bulan gaji adalah orang luar yang tiada kena mengena dengan pasukan,ā€ ujarnya.

Apapun penjelasan daripada pihak Terengganu City, tetap ada keraguan dalam kenyataan mereka.

Ini kerana janji yang diluahkan mereka ini adalah untuk menyelesaikan gaji tertunggak pemain musim semasa yang membantu mereka menjuarai Piala FAM 2018.

Manakala yang bersuara mengatakan tidak mendapat gaji selama empat, lima atau enam bulan, yang merayu meminta hak mereka dibayar adalah bekas anggota pasukan mereka sendiri, bukannya orang luar sepertimana didakwa.

Terengganu City tidak boleh lupa pada tunggakan gaji lama hanya kerana mereka telah bertukar dan diambil alih oleh pengurusan baru. Siapapun boss baru Terengganu City, mereka perlu menanggung liabiliti kewangan dan tidak boleh lepas tangan dengan alasan ianya hutang pengurusan lama.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sendiri telah beberapa kali mengarahkan mereka untuk membuat pembayaran kepada bekas pegawai dan pemain tetapi tidak diendahkan.

Malah dalam kenyataan terbaru FAM pada Selasa, mereka mengarahkan Terengganu City menyelesaikan tunggakan dan pampasan baki kontrak kepada 11 bekas pemain iaitu Fazlihadi Mamat, Haris Safwan Mohd Kamal, Zahierudin Zakaria, Zairi Hafiezi Idris, Nurhalis Syafiq Muhamad Nizu, Shahimi Khairudin, Syamshahril Ghulam, Syed Ridzuan Syed Abdullah, Wan Azwari Wan Nor, Zairo Anuar Zailani dan Saifulnizam Abdullah berjumlah keseluruhan RM321,700.

Itu belum termasuk tuntutan sebelum ini yang pernah dikemukakan oleh bekas jurulatih Roshadi Wahab.

Kegagalan menyelesaikan tunggakan ini pastinya memberi impak kepada penyertaan mereka dalam saingan Liga Malaysia musim depan di mana sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM Datuk Yusoff Mahadi menyatakan pasukan itu tidak akan dibenarkan bertanding.

Keputusan rasmi hanya akan diputuskan oleh FAM serta Malaysia Football League setelah penilaian teliti terhadap status dan kedudukan kewangan mereka. – OLEHĀ MUHD AIMANĀ 

- Advertisement -