Jaguh perseorangan negara Lee Zii Jia mengesahkan slot ke final pertamanya tahun ini selepas mengatasi pemain Belanda Mark Caljouw di peringkat separuh akhir.

Diatas kertas, Zii Jia nyata dilihat sebagai pilihan untuk mara ke peringkat final berdasarkan rekod pertemuan kedua dua pemain.

Pilihan keenam itu nyata mendominasi perlawanan dan mengawal permainan untuk memastikan Mark Caljouw tidak berupaya untuk memintasnya.

Selepas bertarung selama 44 minit, Zii Jia mengesahkan slot ke final dengan kemenangan straight set 21-13, 21-17 dan akan berdepan pilihan kedua dari Denmark, Viktor Axelsen yang menundukkan rakan sepasukannya yang juga pilihan ketiga, Anders Antonsen 16-21, 21-7, 21-17.

“Di set kedua saya kehilangan fokus tetapi berjaya mengatasinya dan memenang set tersebut. Ia merupakan perlawanan yang sengit. 

“Keyakian saya semakin meningkat dan perlawanan esok (hari ini) pastinya sukar tidak kira samada Axelsen atau Antonsen. Mereka adalah lawan yang cukup sukar. Saya berharap dapat berehat dengan baik dan mempersiapkan diri untuk perlawanan esok (hari ini),”kata Zii Jia.

Sementara itu, hasrat untuk melihat satu lagi wakil negara ke peringkat akhir tidak kesampaian.

Bergu campuran negara yang turun selaku peilihan ketiga, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying gagal menewaskan gandingan dari Jepun, Yuki Kaneko – Misaki Matsumoto.

Permainan pantas dan aggresif dipamerkan Kaneko-Matsumoto yang menang 21-14 di set pertama.

Peng Soon-Liu Ying tampak yakin apabila mendahului bergu Jepun itu pada satu ketika namun akur tewas 20-22 di set kedua.

“Kami hilang fokus selepas kami mendahului dengan mata yang jauh. Ketika mereka mengejar kami gementar dan kehilangan idea (blank). 

“Tekanan adalah ke atas kami kerana kami perlu menang set kedua selepas tewas di set pertama malangnya kami gagal beraksi dengan baik,”kata Goh Liu Ying .

Dalam pada itu, Jepun mendominasi saingan final bagi kategori bergu lelaki, wanita dan campuran.

Pilihan ketiga Takeshi Kamura – Keigo Sonoda akan berdepan pilihan keempat Hiroyuki Endo – Yuta Watanabe bagi saingan bergu lelaki manakala bergu wanita menyaksikan pertemuan diantara pilihan pertama Yuki Fukushima – Sayaka Hirota  dengan pilihan kedua Mayu Matsumoto – Wakana Nagahara.

Aksi bergu campuran pula menemukan Yuki Kaneko – Misaki Matsumoto menentang pilihan kedua, Yuta Watanabe – Arisa Higashino.

Jepun turut menempah slot fonal perseorangan wanita menerusi pilihan kedua Nozomi Okuhara yang akan berdepan pilihan keenam dari Thailand, Pornpawee Chochuwong.

- Advertisement -