TIRAI Liga Hoki Malaysia (Wanita) 2021 dilabuh dengan gelaran naib juara Liga Hoki Malaysia (Wanita) sah menjadi milik PDRM Blue Warriors  selepas mudah mengatasi Sabah 10-0 pada perlawanan terakhir di Stadium Hoki Nasional malam ini. 

Selepas UniKL dinobat sebagai juara Liga pada Selasa lepas, kedudukan sebagai naib juara menjadi perebutan antara PKS Uniten-KPT dan PDRM Blue Warriors yang terpaksa di tentukan pada perlawanan terakhir masing-masing.  

Kedua-dua pasukan turun dengan terikat 7 mata dan perlu mengatasi lawan mereka dengan sebanyak mungkin jaringan untuk merebut kedudukan naib juara. 

Biarpun berjaya membolosi Young Tigress 6-0, Uniten-KPT gagal mengatasi kedudukan PDRM Blue Warriors yang menarik nafas lega apabila mengatasi Mutiara Juniors 10-0, sekaligus mengesahkan status sebagai naib juara berdasarkan perbezaan jaringan gol. 

Begitu pun, kedudukan emat pasukan yang layak ke separuh akhir Piala Vivian May Soars tidak berubah dengan UniKL Ladies, Uniten-KPT, PDRM Blue Warriors dan Sabah bakal berentap mulai Ahad (28 Mac) ini.

Uniten-KPT merupakan juara bertahan Piala Vivian May Soars manakala PDRM menjulang piala berkenaan dua kali sejak lima tahun lepas iaitu pada 2016 dan 2018.  

Berdasarkan pencapaian dalam Liga, pastinya UniKL Ladies muncul pilihan utama meraih juara berganda selepas mencipta sejarah tersendiri menjulang kejuaraan Liga dalam penampilan pertama mereka musim ini. 

PDRM Blue Warriors 10 – 0  Mutiara Juniors-PSHA 

PDRM turun dengan matlamat bukan sahaja untuk menang dan mengutip mata penuh, tetapi menang dengan jaringan besar untuk membuka peluang merebut gelaran naib juara selepas terikat mata dalam kedudukan keseluruhan dengan PKS Uniten.

Biarpun cemas pada satu ketika kerana gagal membolosi gawang lawan sehingga tamat suku pertama, PDRM akhirnya lega apabila barisan depan akhirnya tiba-tiba bangkit dan meledak 5 gol pantas dalam tempoh lima minit.

Bermula dengan jaringan Ellya Amanina Ellias pada minit ke-23, Wan Norfaiezah Md Saiuti melebar jurang pada minit ke-24, Norbaini Hashim (minit ke-25) dan Nurfatin Dizana Mohd Zaidi (minit ke-26).

Dua gol jaringan Fatin Shafika Mohd Sukri pada minit ke-27, ke-32, ditambah dengan satu lagi gol Nur Fatin Dizana (minit ke-29), Fatin Naimah Zaki (37, 54), Norhasikin Halim (minit ke-40) melengkapkan kemenangan besar PDRM yang sekaligus mengesahkan kedudukan sebagai kedua terbaik dalam Liga. 

Pengendali PDRM Ahmad Nizam Yusof tenyata lega dengan kejayaan PDRM mengatasi Mutiara Juniors selain mengesahkan kedudukan selaku naib juara.” Kita bermain mengikut perancangan dan dengan kesedaran perlu jarring seberapa banyak gol.  

“Selepas ni, tugas lebih getir berdepan Uniten dalam saingan separuh akhir yang tentunya berlangsung dalam suasana berbeza secara timbal balik. Strategi dan pendekatan pasukan untuk setiap perlawanan pasti berbeza,” kata beliau. 

PKS Uniten-KPT 6 -0  Sabah

Juara bertahan Piala Vivian May Soars mempamerkan aksi kemas untuk mudah mengatasi Sabah 6-0 pada perlawanan terakhir Liga, dan terpaksa berpuas hati menduduki tangga ketiga dalam kedudukan keseluruhan Liga 2021. 

Tiga gol dalam tempoh empat minit awal menyaksikan Uniten-KPT membangkitkan keyakinan menguasai penuh rentak permainan.  

Siti Zulaikha Hussain membuka jaringan awal menerusi jaringan sudut penalti pada minit kedua diikuti Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad (minit ke-5) dan Nur Insyirah Effarizal pada minit ke-6. Satu lagi gol dari Nur Zafirah Aziz pada minit ke-18 meletakkan Uniten-KPT di hadapan dengan kelebihan empat gol. 

Suku keempat menyaksikan dua lagi gol terhasil menerusi Nurul Faezah Shafiqah Khalim pada minit ke-50 dan Nur Hafizah Maznan di minit ke-59. 

Menjelang bermulanya saingan separuh akhir Piala Vivian May Soars Ahad ini, pengendali Uniten-KPT Lailin Abu Hassan berkata tempoh rehat tiga hari akan digunakan untuk proses pemulihan dan mengembalikan kecergasan pemain. 

“Dengan berakhirnya Liga, fokus kami kini ialah menyiapkan diri sebaik mungkin untuk separuh akhir Piala Vivian May Soars. Kami akan meneliti kekuatan lawan dan memikirkan strategi sesuai. Selepas bermain sejak seminggu lepas, ada pemain yang agak kepenatan dan terdapat juga kecederaan. Jadi tempoh rehat tiga hari ini amat penting,” kata Lailin.

Berbeza dengan Liga, saingan separuh akhir secara timbal balik menyajikan lebih banyak peluang sama rata kepada pasukan untuk mengatasi lawan masing-masing, kata Lailin. 

UniKL Ladies 4 – 2 Young Tigress

UniKL Ladies mengekalkan rekod tanpa kalah apabila melengkapkan perlawanan dengan kemenangan 4-2 ke atas pasukan pembangunan Young Tigress malam ini. 

Biarpun sudah bergelar juara, UniKL Ladies tetap turun bersemangat dengan matlamat mengutip tiga mata penuh untuk mengekalkan rekod bersih tanpa kalah dalam penampilan pertama mereka musim ini. 

Paling manis buat pemain kebangsaan Nur Atira Mohamad Ismail yang muncul sebagai penjaring hatrik (minit ke-5, ke-16 dan ke-30) sekaligus meletakkan sebagai penjaring terbanyak liga dengan tujuh gol, terikat bersama rakan sepasukan Nuramirah Shakirah Zulkifli. Nur Afiqah Syahzani Azhar melengkapkan kemenangan UniKL Ladies dengan jaringan padang pada minit ke-44. 

Begitupun, rekod tanpa bolos mereka berkecai apabila Young Tigress berjaya membolosi gawang menerusi Dian Nursyakira Najwa pada minit ke-13 dan Dayang Nuramirah Abang Mahadani (minit ke-49).

Sambil memuji keupayaan Young Tigress membolosi gol UniKL Ladies, pengendali Roslan Jamaluddin berkata barisan pemain turun dengan sasaran melengkapkan kempen mereka dengan tiga mata penuh. 

“Young Tigress bermain baik secara terbuka dan menyerang. Saya puas hati kerana pemain-pemain muda yang diturunkan hari ini mempamerkan prestasi yang baik. 

“Yang lebih penting ialah persiapan untuk separuh akhir Piala Vivian May Soars Ahad ini. Saingan pasti berbeza kerana membabtkan perlawanan timbal balik. Jadi kami akan pastikan pemain mendapat rehat cukup untuk memulihkan apa juga kecederaan,” kata beliau.

Pada saingan separuh akhir Piala Vivian May Soars, UniKL Ladies akan berdepan Sabah secara timbal balik. “Biarpun menumpaskan Sabah 4-0 dalam Liga, saingan dan suasana separuh akhir nanti pasti berbeza kerana diadakan secara timbal balik,” kata Lalin. 

 

KEPUTUSAN PENUH:

PKS Uniten-KPT 6-0 Sabah

UniKL Ladies 4 – 2 Young Tigress 

PDRM Blue Warriors 10 -0  Mutiara Juniors 

 

JADUAL SEPARUH AKHIR PIALA VIVIAN MAY SOARS

Ahad, 28 Mac, 2021:

Separuh Akhir 1

UniKL Ladies mln Sabah (6 pm) NHS 1

Separuh Akhir 2

PDRM Blue Warriors mln PKS Uniten-KPT (6pm) NHS 2

 

- Advertisement -