Oleh Muhammad Aiman

Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) akan menyampaikan sumbangan insentif berjumlah US$5,000 (RM21,680) kepada jaguh keirin tanah air, Azizulhasni Awang sebagai menghargai kejayaannya memenangi pingat emas keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong pada bulan lalu.

Perkara itu disahkan Bendahari ACC, Datuk Amarjit Singh Gill yang berkata keputusan itu dibuat ketika mesyuarat ahli lembaga pengurusan ACC di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada Sabtu lalu.

Beliau yang juga Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia berkata, “Pencapaian hebat Azizulhasni bukan sahaja satu kebanggaan buat dirinya dan Malaysia, tetapi buat seluruh Asia. Insentif berbentuk tunai dan memento khas akan disampaikan kepadanya pada satu tarikh yang akan kita tetapkan nanti.”

Tanggal 13 April menjadi tarikh bersejarah buat Malaysia apabila Azizulhasni atau popular dengan panggilan ‘the pocket rocket man’, bergelar juara dunia buat pertama kali dengan menewaskan Fabian Hernandor Puerta Zapata (Colombia) dan pelumba nombor satu dunia, Tomas Babek (Republik Czech).

Kejayaan itu menjadikan Azizulhasni sebagai pelumba Asia kedua untuk menang emas di Kejohanan Dunia setelah kali pertama ianya dimenangi oleh Harumi Honda dari Jepun di Kejohanan Dunia Vienna, Austria pada 1987.  

- Advertisement -