Md Adib Rosley mahu melupakan kekecewaan di Teluk Intan dan tekad untuk bangkit serta menamatkan perlumbaan di kelompok depan dalam saingan Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kangar, Perlis, 22 dan 23 September ini.

Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing itu gagal menamatkan perlumbaan pusingan lepas selepas tuas gear jentera patah akibat insiden kemalangan yang dialami di selekoh pertama perlumbaan.

Lebih malang, dua lagi rakan sepasukan, Md Izzat Zaidi Salehan dan Azhar Abd Jalil turut gagal menamatkan perlumbaan sekaligus gagal membawa pulang sebarang mata individu dan juga berpasukan.

Selepas lima pusingan, Adib kini berada di tangga kesembilan keseluruhan dengan 31 mata, jauh ketinggalan kepada pendahulu, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing) yang mengumpul 115 mata.

“Sebenarnya selepas terjatuh, saya masih dapat meneruskan perlumbaan namun selepas satu pusingan, barulah gear jentera saya patah dan gagal untuk meneruskan perlumbaan,” jelas Adib.

Tambahnya, “Memang saya kecewa kerana gagal memungut sebarang mata dan semakin ketinggalan dalam senarai keseluruhan, lebih malang Izzat dan Azhar juga mengalami nasib serupa di Teluk Intan. Pasukan juga rugi kerana gagal menambah mata, namun kami tekad untuk bangkit menebus kehilangan mata tersebut di Perlis minggu ini.

“Berdasarkan rekod kali terakhir kami berlumba di Kangar pada tahun 2016, saya berjaya menaiki podium dan mudah-mudahan dapat mengulanginya pencapaian tersebut minggu ini.”

- Advertisement -