Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan kejuaraan AFC B19 ditunda ke awal tahun 2021 berbanding jadual asal iaitu pada Oktober depan.

Perkara tersebut dimaklumkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang turut serta alam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) secara maya, hari ini.

Keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, demi kepentingan kesihatan sejagat, mesyuarat sebulat suara memutuskan bahawa Piala AFC dan Kelab Futsal AFC 2020 dibatalkan.

Selain kejohanan AFC Bawah 19, turut sama ditunda, AFC Bawah 16 yang akan ditunda ke awal tahun 2021 manakala Kejohanan Futsal AFC yang dijadualkan berlangsung di Kuwait November ini kini ditunda pada 2 Disember 2020.

“Demi keselamatan semua pihak kita memutuskan untuk mengambil langkah-langkah sedemikian.

“Ini bersandarkan kepada senario terkini bahawa rantaian COVID-19 ini belum putus sepenuhnya.

“Industri bola sepak khususnya Asia akan berdepan beberapa cabaran utama namun AFC akan terus bersama dengan ahli gabungan terutama negara yang terjejas teruk dengan memberi sokongan padu serta bantuan kewangan yang diperlukan, ” kata Datuk Haji Hamidin.

Mesyuarat alam maya itu dipengerusikan oleh Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ibrahim Al Khalifa itu turut membincangkan mengenai pentadbiran, kewangan dan perundangan AFC.

“Kita perlu saling menyokong antara satu sama lain dalam membendung krisis ini bersama, ” tambah Datuk Haji Hamidin.

Beliau merupakan ahli jawatankuasa eksekutif AFC bagi penggal 2019-2023 turut menambah, mesyuarat berkenaan menegaskan industri bola sepak negara di Asia masih terkesan dengan impak pandemik COVID-19.

 

 

 

- Advertisement -