photo – Supakit Wisetanuphong

 

 

Skuad bawah 15 tahun negara mendapat tuah buat kali kedua berturut turut hasil jaringan sendiri pemain lawan untuk memastikan Malaysia menamatkan saingan kumpulan B Kejuaraan AFF B15 selaku juara.

Selepas berjaya meraih satu mata hasil jaringan pemain lawan untuk mengikat Laos satu sama pada 3 Ogos lalu, Malaysia hanya memerlukan seri ketika berdepan Thailand dalam aksi terakhir kumpulan B untuk mengesahkan status selaku juara kumpulan B sekaligus mara ke separuh akhir.

Thailand ternyata mahukan kemenangan untuk memintas Malaysia yang menerajui kumpulan B berdasarkan kelebihan jaringan selepas empat perlawanan.

Impian itu tampak menjadi impian apabila tuan rumah merobek gawang Malaysia di minit 18 menerusi Pornsawan Sankla untuk mendahului 1-0.

Jaringan tersebut tampak tidak mematahkan semangat juang anak didik P Maniam yang terus mencari ruang dan peluang untuk menyamakan kedudukan.

Usaha dan kesabaran pemain negara akhirnya dibalas dengan tuah apabila pemain tengah, Sittha Boonlha tertampan bola ke gawang sendiri di penghujung masa tambahan selepas tamat masa sebenar untuk memberikan jaringan penyamaan sekaligus menceriakan kem Malaysia.

Meskipun seri, ia ssudah memadai untuk Malaysia melangkah keluar dari kumpulan B selaku juara, mengiringi tuan rumah Thailand ke peringkat separuh akhir.

Malaysia dan Thailand berkongsi 11 mata selepas lima perlawanan manakala Australia akur gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir selepas menduduki tangga ketiga dengan 10 mata.

Malaysia akan berdepan naib juara kumpulan A, Vietnam untuk memburu slot ke final.

 

- Advertisement -