Pengendali skuad bawah 23 tahun negara, Dato’ Ong Kim Swee pastinya boleh menarik nafas lega setelah mengetahui kecederaan dialami penyerang muda, Akhyar Rashid tidak serius dan dia boleh diturunkan pada aksi pusingan kedua menentang Jepun, Jumaat ini.

Kim Swee boleh pening kepala memikirkan siapa pemain sesuai untuk digandingkan di barisan depan bersama Safawi Rasid andai Akhyar tersisih kerana kecederaan, apatah lagi beberapa pemain simpanan yang diturunkan ketika kekalahan kepada Bahrain dalam aksi terakhir kumpulan seperti Faisal Halim, R.Kogileswaran dan Hadi Fayyadh Abdul Razak tidak benar-benar meyakinkan.

Akhyar sebelum ini menimbulkan kebimbangan di kem negara setelah dilaporkan mengalami kecederaan pangkal paha pada minit akhir aksi menentang Bahrain pada Isnin lalu dan bergelut untuk berada pada tahap kecergasan penuh.

Pemain berusia 18 tahun bagaimanapun menjelaskan, “Tiada apa-apa yang serius selepas insiden tersebut, cuma saya berasa sedikit kejang sebab bermain dua perlawanan penuh.

“Saya sekarang menumpukan kepada pemulihan dan tempoh masa beberapa hari dalam sesi latihan selepas ini saya percaya dapat cergas sepenuhnya.”

Setakat ini pemain Kedah itu telah menyumbang satu gol iaitu ketika menentang Kyrgyzstan selain berjaya mendapatkan dua sepakan penalti dan maka tidak hairanlah kenapa dia dianggap sebagai  sandaran lebih meyakinkan untuk mengucar-kacirkan pertahanan Jepun.

Sementara itu, bagi kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar, dia berpendapat tidak mustahil satu lagi kejutan dapat dilakar pasukan negara tetapi dengan syarat pemain-pemain tidak melakukan kesilapan-kesilapan mudah dan memanfaatkan sebaik mungkin setiap peluang jaringan yang dicipta.

“Kalau diikutkan kekuatan kita adalah seimbang tetapi saya tidak akan memandang mudah pasukan Jepun walaupun mereka dibarisi pemain muda berusia bawah 21 tahun. Ini kerana mereka telah lama dibentuk dan mempunyai kelebihan dari segi persefahaman dan keserasian.

“Cuma, saya mahu rakan-rakan mempunyai kepercayaan bahawa jika Korea Selatan boleh ditumbangkan, kenapa tidak Jepun? Jika kita tunjukkan semangat melawan yang tinggi, kita boleh lakukannya dan kita perlu membuktikannya,” ujar Baddrol.

Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan bertembung di pentas Sukan Asia adalah pada edisi 2010 di Guangzhou yang mana Malaysia tewas 0-2 di peringkat kumpulan dan Jepun kemudiannya muncul juara buat pertama kali. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -