Yusri Che Lah

Penjaga gol veteran, Shahrizan Ismail tidak pernah mendapat peluang untuk beraksi sepanjang Fajr Ibrahim mengendalikan pasukan, walaupun Kelantan cukup goyah di posisi penjaga gol ekoran berikutan penghijrahan Khairul Fahmi Che Mat dan Ramadhan Hamid.

Fajr lebih gemar menurunkan penjaga gol berusia 18 tahun yang direkrut dari Piala Presiden, Fikri Che Soh meskipun pemain itu mentah pengalaman dan dikritik hebat dek kerana prestasi hambar.

Namun sejurus jurulatih itu berundur, Yusri Che Lah yang memangku tugas jurulatih menghadiahkan Shahrizan, penjaga gol berusia 39 tahun kap sulungnya musim ini dan dia membalas kepercayaan itu dengan cukup sensasi.

Shahrizan atau popular dengan panggilan Mat Chah membuktikan betapa kudratnya masih berbisa apabila tampil dengan aksi cemerlang, menyelamatkan sekurang-kurangnya tujuh percubaan berbahaya termasuk sepakan penalti di masa kecederaan  untuk membantu Kelantan mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kedah di Alor Star pada Selasa.

Dia tewas di separuh masa pertama kepada penalti Paolo Rangel pada minit ke-26 yang memberikan Kedah kelebihan 1-0 tetapi menafikan penalti yang diambil Sandro Mendonca pada ketika Kelantan sedang mendahului 2-1 menerusi dua jaringan pantas pada minit ke-55 dan 59 oleh dua pemain gantian, Nik Azli Nik Alias dan Danial Ashraff.

Aksi bertaraf lima bintang Shahrizan itu membolehkan Kelantan akhirnya merasai nikmat kemenangan setelah tewas empat kali berturut-turut sebelum ini. Ia juga kemenangan pertama di tempat lawan dan yang ketiga secara keseluruhan untuk mereka musim ini, namun masih kekal di tangga tercorot dengan 11 mata.

Sementara itu, Melaka mempersiakan kelebihan tiga gol sebelum berjaya melakar kemenangan dramatik 4-3 ke atas Kuala Lumpur dalam aksi cukup menghiburkan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Skuad E.Elavarasan mendahului 3-0 menerusi Yahor Zubovich (m-5), Syahrul Azwari (m-22) dan Ifedayo Olusegun (m-34) namun barisan pemain warga kota menterjemahkan kebangkitan sensasi menerusi jaringan Paolo Josue (m-43) dan Guilherme De Paula (m-48, 70) untuk mengikat kedudukan 3-3.

Olusegun bagaimanapun memastikan kemenangan buat Melaka setelah menyempurnakan hantaran S.Chanturu pada minit ke-76. Kemenangan kelima buat Melaka menyaksikan mereka menghuni tangga kelapan dengan 17 mata.

Dalam satu lagi aksi, dua jaringan Shahrel Fikri Mohd Fauzi membantu PKNP FC bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Terengganu FC 2-1 di Stadium Ipoh. Terengganu sebelum itu mendahului di separuh masa pertama menerusi jaringan Tchetche Kipre.

Kemenangan melonjakkan PKNP ke tangga ketujuh dengan 17 mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -