Mohd Al Jufferi Jamari

Oleh Ku Mohd Lufti

Pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jemari memberi penekanan terhadap kekuatan mental sebagai persiapan untuk mengharungi Kejohanan Pencak Silat Dunia ke 17, 2016 di Bali, Indonesia.

Jufferi mengakui tekanan untuk beraksi di Indonesia bukan mudah, membawa gelaran sebagai atlet terbaik dunia pastinya mengundang tekanan.

Malah, silat juga merupakan salah satu sukan yang diminati oleh penduduk tempatan di Indonesia, sama seperti bolasepak.

“Bagi saya halangan terkuat saya adalah Vietnam dan semestinya tuan rumah Indonesia kerana mereka mempunyai peminat yang sama fanatiknya seperti bolasepak.

“Jadi saya perlu berikan 100 peratus ketika pertandingan, tidak boleh 50 – 50, atau saya akan kalah,” kata Al Jufferi.

Malah, ini adalah peluang untuk pesilat berusia 24 tahun itu untuk melakar sejarah apabila menjuarai kejohanan dunia sebanyak tiga kali.

Dengan tempoh yang ada sebelum kejohanan dunia berlangsung, Jufferi yang juga pemenang anugerah sukan Negara 2015 lebih melakukan persiapan dan latihan untuk memperkukuhkan teknikal dan taktikal.

“Saya perlu tambah lagi teknik yang sedia ada dan perlu menajamkan yang sedia ada kerana pihak lawan sudah boleh membaca permainan.”

“Dari persiapan psikologi memang ada, tiap tiap bulan kami diberikan latihan psikologi daripada Institut Sukan Negara (ISN) untuk menguatkan mental dalam satu pasukan dan banyak latihan dalam kumpulan (team building), insyaallah kami akan bersedia.”katanya lagi

Sebelum mengharungi kejohanan dunia di Bali, Jufferi akan mengharungi tiga perlawanan sebagai persiapan, Terbuka Belanda pada Ogos diikuti Kejohanan Silat Pantai di Vietnam (September) dan Terbuka Malaysia pada bulan Oktober.

- Advertisement -