D'Herbs Holdings

Oleh Muhammad Aiman

Susulan pembatalan tajaan antara syarikat kosmetik miliknya D’Herbs Holding Sdn Bhd dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Aliff Syukri Kamarzaman meluahkan rasa kecewa di atas keputusan diambil KFA itu.

“Saya tidak kecewa tidak dapat menaja Kedah walaupun saya dah lama habiskan masa saya, sehingga ke peringkat terakhir. Tapi jujur sebenarnya saya amat kecewa sebab pengumuman dibuat secara tiba-tiba, tanpa pengetahuan saya langsung!

“Sedangkan sebelum ini kita boleh duduk berbincang dengan baik dan bersama, tetapi kali ini dibuat tanpa pengetahuan saya, jadi saya rasakan ini tidak adil untuk saya,” ujar Aliff Syukri dalam status yang dimuat naik dalam laman sosial peribadinya.  

Aliff Syukri turut menyatakan bahawa beliau akan mengadakan satu sidang media khas dalam tempoh terdekat bagi menjawab segala persoalan dan meminta agar orang ramai tidak membuat kesimpulan mahupun andaian sendiri berhubung pembatalan tajaan itu.

Terdahulu pada Rabu, KFA mengambil keputusan untuk tidak menerima tawaran tajaan RM30 juta selama tiga tahun oleh D’Herbs di mana setiausaha kehormatnya, Datuk Aminuddin Omar menyatakan keputusan itu dibuat kerana ada beberapa syarat yang ditetapkan penaja sukar untuk dipenuhi.

Walaupun tidak mendedahkan mengenai butiran permintaan dari pihak D’Herbs, Sports247 difahamkan ianya berpunca dari permintaan yang tidak masuk akal serta tidak menguntungkan kedua-dua pihak yang dibuat oleh syarikat milik Datuk Aliff Syukri Kamarzaman itu.

Menurut sumber, antara permintaan yang paling sensasi adalah D’Herbs mahukan tanah milik kerajaan negeri seluas 120 ekar yang dianggarkan bernilai hampir RM35 juta secara percuma untuk membangun dan meluaskan empayar perniagaan mereka.

Sementara tajaan RM30 juta pula dipecahkan kepada RM10 juta setahun – hanya RM6 juta untuk KFA manakala selebihnya adalah untuk penjenamaan dan pengkomersialan produk jualan D’Herbs, yang sama sekali dirasakan tidak berbaloi oleh KFA.

Untuk rekod, KFA adalah persatuan ketiga untuk menolak tawaran tajaan dari D’Herbs selepas Persatuan Bolasepak Selangor dan Persatuan Bolasepak Pahang turut membuat keputusan sama sebelum ini kerana tidak dapat memenuhi syarat-syarat ditetapkan oleh syarikat itu.

- Advertisement -