Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu aktiviti bersukan dijadikan sebagai amalan harian di dalam mewujudkan rakyat yang sihat dan menjadi penggerak kepada kejayaan Transformasi Nasional 2050.

Bercakap ketika merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) yang disambut setiap Sabtu kedua bulan Oktober setiap tahun di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Datuk Seri Najib menegaskan hanya masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dapat membina lebih kejayaan di masa akan datang.

“Kita mahu bangunkan budaya bersukan dalam negara supaya rakyat suka bersukan dan sentiasa sihat. Kita tidak pernah dengan orang yang berjaya tidak sihat. Ini perlu diterapkan dalam mentaliti semua terutama generasi TN50 yang merupakan masa depan negara.”

Tambahnya, bersukan juga adalah antara elemen penting memupuk dan menyemarakkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum Malaysia.

HSN 2017 di Bukit Jalil berlangsung meriah dengan penyertaan hampir 20 ribu peserta pelbagai peringkat umur dan latar belakang. Antara aktiviti disediakan adalah berbasikal 30 kilometer, zumba, senamrobik dan bola keranjang 3 lawan 3 selain beberapa aktiviti lain di sekitar Bandar Sukan Bukit Jalil. 

Turut hadir pada majlis itu adalah isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta isteri Puan Nori Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali; dan Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Zainal Rahim Seman.

Dalam pada itu, Datuk Lokman yang bercakap pada sidang media selepas upacara perasmian itu menyatakan rasa kagum dan terujanya dengan sambutan terhadap HSN yang disambut buat tahun ketiga berturut-turut ini.

Menurutnya, sambutan tahun ini mengamalkan pendekatan berbeza di mana setiap peserta yang mengambil bahagian bukan sahaja terlibat dengan aktiviti yang telah dirangka penganjur tetapi dalam masa sama digalakkan melakukan aktiviti dan senaman sendiri bersama keluarga mahupun rakan-rakan.

Beliau turut menjelaskan bahawa beberapa kelainan telah diperkenalkan antaranya penglibatan atlet-atlet pemenang emas di Sukan SEA dan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 di negeri masing-masing yang bertujuan memeriahkan lagi sambutan.

Antara atlet pemenang emas di KL 2017 yang turut menjayakan sambutan di Bukit Jalil adalah Cheong Jun Hoong yang juga juara dunia dalam acara terjun; atlet lempar cakera Irfan Shamsudin; ratu gimnastik Farah Ann Abdul Hadi, srikandi boling Syaidatul Afifah Badrul Hamidi serta tiga jaguh paralimpik – Abdul Latiff Romly, Ridzuan Puzi dan Ziyad Zolkelfy.

Selain itu, menurut Datuk Lokman, “Hari ini juga kami membuka semua kemudahan di bawah KBS seperti Kompleks Rakan Muda, Kompleks Belia dan Sukan, Y-Center, Gimnasium 1Malaysia dan Gelanggang Futsal 1 Malaysia untuk digunakan secara percuma. Sasaran kita penyertaan seramai 2 juta rakyat di seluruh negara.”

Untuk rekod, HSN pada tahun pertama (2015) mencatatkan penglibatan seramai 5.1 juta rakyat diikuti 7.6 juta pada tahun berikutnya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -