Oleh Muhammad Aiman
Selepas Safiq Rahim, giliran seorang lagi pemain Johor Darul Takzim, Amirulhadi Zainal menyatakan kesediaan untuk kembali ke pangkuan skuad kebangsaan.
Biarpun tidak menyatakan secara langsung mengenai keinginannya itu, kenyataan Amirulhadi sudah cukup untuk membayangkan betapa dia terbuka untuk mempertimbangkan hasrat keluar dari persaraan antarabangsa andai khidmatnya masih diperlukan.
“Azam saya di tahun baru ini adalah tingkatkan prestasi menjadi lebih baik, tengoklah macam mana, tak tahu lagi (kembali ke skuad kebangsaan). Tetapi itu terpulang kepada jurulatih, bagaimana penilaiannya terhadap setiap pemain. Kalau jurulatih rasakan saya masih layak, tengoklah macam mana.”
Amirulhadi berkata demikian ketika ditemui Sports247 pada majlis resepsi perkahwinannya dengan Mimi Sasha Niza Zani di Subang Jaya, pada Ahad yang turut dihadiri rakan sepasukan dari JDT antaranya Izham Tarmizi dan Amer Saidin.
Turut hadir rakan-rakan arena bolasepak seperti Safee Sali, Asrarudin Putra Omar, Shukor Adan, Fazli Zulkifli (kapten PKNP) dan ramai lagi bekas pemain seangkatan ayahnya Zainal Noordin.
Untuk rekod, pemain berusia 30 tahun itu bersama-sama Safiq, Aidil Zafuan Abd Radzak dan S.Kunanlan mengumumkan persaraan mereka dari pentas antarabangsa pada bulan Julai lalu, yang mana hadir sebagai tamparan buat persiapan skuad kebangsaan bagi menghadapi kempen Piala AFF 2016 pada Disember.
Sebelum itu, Amirulhadi yang merupakan anggota skuad pingat emas Sukan Sea 2009 tersisih dari pasukan kebangsaan selama hampir lima tahun berikutan kemerosotan prestasi berpunca dari kecederaan.
Begitupun, prestasi meningkat naik ditunjukkannya bersama JDT musim 2016 membolehkan Dato’ Ong Kim Swee kembali menyenaraikan namanya pada bulan Mei dan telah bersama-sama pasukan kebangsaan menjalani latihan di Jelajah Oceania.