rio-og-2016Oleh Muhammad Aiman

Pasukan terjun negara membuat keputusan menyenaraikan nama Ahmad Amsyar Azman untuk beraksi di temasya Sukan Olimpik Rio De Janeiro pada Ogos depan, sebagai mengambil alih slot 3m papan anjal milik rakan sepasukan Ooi Tze Liang.

Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia, Mae Chean menjelaskan keputusan itu dibuat berikutan Tze Liang telahpun berehat hampir sembilan bulan selepas menjalani pembedahan justeru adalah diragui sama ada atlet itu boleh berada pada prestasi terbaiknya di Rio.

“Tze Liang mempunyai dua slot di Olimpik iaitu bagi acara 10m platform dan 3m papan anjal. Oleh kerana dia baru sahaja pulih, jurulatih (Yang Zhuliang) merasakan lebih baik untuk dia fokus pada satu acara sahaja iaitu 10m dan tidak terlalu memberi tekanan kepadanya.

“Tze Liang menjalani pembedahan pada September tahun lalu dan hanya kembali menjalani latihan pada Mac. Susah untuk dia berada di prestasi terbaik jika beraksi di kedua-dua acara. Jadi kami membuat keputusan untuk menghantar Amsyar bagi acara 3m papan anjal. Dengan cara ini kita harap dua-dua penerjun boleh memberikan terjunan terbaik mereka.

“Lagipun ia juga bagus untuk mempunyai dua penerjun lelaki dalam satu pasukan, kerana sekiranya sesuatu terjadi seperti kecederaan atau demam pada Tze Liang, kita tidak mahu rugi dua slot tersebut jadi ianya dilihat sebagai langkah persediaan untuk hadapi sebarang kemungkinan,” jelas Mae Chean.

Untuk rekod, Malaysia akan diwakili lima penerjun di temasya sukan terbesar dunia itu.

Selain Tze Liang, turut mengibar cabaran negara di Rio adalah pemenang gangsa edisi lalu Pandalela Renong (10m platform individu dan 10m terjun seirama), Nur Dhabitah Sabri (10m platform individu dan 3m terjun seirama), Wendy Ng (3m papan anjal) dan Cheong Jun Hoong (10m terjun seirama, 3m terjun individu dan seirama).

- Advertisement -