Pelumba MotoGP, Andrea Iannone digantung daripada melibatkan diri dengan sebarang aktiviti melibatkan sukan permotoran selepas didapati bersalah menggunakan bahan terlarang.

Menerusi kenyataan Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIM), bahagian Mahkamah Displin Antarabangsa, Andrea Iannone digantung selama 18 bulan berkuat kuasa 17 Disember 2019 dan dijangka tamat pada 16 Jun 2021.

Ujian doping yang dijalankan ketika saingan GP Malaysia pada 3 Nomber 2019, mendapati, pelumba kelahiran Itali itu positif menggunakan Drostanolone metabolite, bahan terlarang yang tersenarai sebagai steroid.

Sebelum dijatuhkan hukuman, sesi pendengaran telah dilakukan pada 4 Februari lalu di Mies, Switzerland.

Keputusan ini menyaksikan sebarang mata ataupun trofi yang diraih ketika saingan GP Malaysia dan GP Valencia yang berlangsung dari 15-17 November 2019 dibatalkan.

 

- Advertisement -