Pemain tengah KL Rovers, Hafiz Kamal membayangkan gandingan dua penyerang import Davy Claude Angan dan Sergio Fabian Ezequiel Aguero mampu membantu pasukan untuk memberi saingan sengit kepada lawan, Johor Darul Taā€™zim (JDT) dalam aksi pusingan kedua Shopee Piala FA 2020.

Hafiz pada mulanya agak terkejut apabila pasukannya diundi bertemu juara enam kali Liga Super itu yang pastinya dilihat cukup sukar untuk diatasi pada aksi pusingan kedua ini.

Namun, bekas pemain Pahang ini yang pernah menjulang trofi Shopee Piala FA pada 2014 enggan mengalah terlalu awal sebaliknya positif dengan percaturan jurulatihnya, Nazrul Erwan Makmur dengan skuad yang dibentuk kali ini termasuklah kehadiran dua bekas penyerang import Melaka itu.

Hafiz percaya Angan dan Aguero mampu memperkuatkan barisan serangan KL Rovers untuk mencari jalan menembusi gawang JDT meskipun sedar juara Piala FA 2016 itu dilabel pasukan pilihan dalam perlawanan itu nanti.

Angan yang sebelum ini pernah beraksi di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer di Molde dibelenggu kecederaan pada musim lalu dan kini kembali untuk membuktikan semula kemampuannya manakala Aguero sudah tidak asing dalam saingan Liga M3 bersama Selangor United tahun lepas sebelum ke Pulau Pinang pada pertengahan musim.

ā€œMereka berdua pun sama seperti saya, baru beraksi untuk pasukan KL Rovers dan sudah pasti semua berharap agar mereka dapat membentuk gandingan mantap untuk bertemu JDT.

ā€œUndian kali ini saya boleh katakan agak sukar kerana KL Rovers baru sahaja ditubuhkan dan saya percaya rakan sepasukan akan tetap mempamerkan aksi terbaik.

ā€œKalau boleh, memang la kita nak elak daripada berdepan JDT sebab kita tahu kekuatan mereka macam mana, tetapi kita kena hadapi perlawanan itu juga dengan lebih tenang,ā€ jelasnya.

Pasukan KL Rovers baru sahaja ditubuhkan pada tahun ini bagi mengharungi saingan Liga M3 di bawah kendalian bekas jurulatih Puchong Fuerza, Nazrul yang juga merupakan bekas penolong jurulatih UiTM FC pada 2017.

Skuad yang dibentuk ini dilihat cukup bersedia untuk mengharungi saingan ini berbekalkan pengalaman pemain seperti Hafiz, Naim Nazmi, Azman Chuchu dan Afiq Ahmad Razali serta dua penyerang import.

Berjaya mengharungi pusingan kelayakan dan pusingan pertama tempoh hari menyaksikan pasukan ini tampak cukup serius untuk mara lebih jauh dalam kempen Piala FA musim ini sebelum akhirnya diundi menentang JDT pada pusingan kedua.

Pusingan kedua Shopee Piala FA 2020 akan berlangsung pada 17 dan 18 Mac depan.

- Advertisement -