annuar.musa

Oleh Ku Mohd Lufti

Selepas meninggalkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengalihkan tumpuannya untuk bertanding sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Namun, pendiriannya untuk menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tampak tidak meyakinkan apabila tidak mahu merebut jawatan tersebut andai ada calon yang lebih layak.

“Minat sentiasa ada (dalam bola sepak dan FAM) tetapi kalau ada yang saya rasa boleh jaga FAM dengan lebih baik, tidak perlu saya berebut. Kalau tanya saya, TMJ layak…beliau boleh membawa satu perubahan besar kepada bola sepak Malaysia.

“Tetapi, TMJ tidak dapat bekerja bersendirian, beliau perlu membentuk satu pasukan kerja yang baik dan ikhlas. Namun, jika TMJ tidak sanggup ambil alih FAM seperti yang beliau katakan sebelum ini, saya sedia tawarkan diri,” kata Tan Sri Annuar Musa.

Untuk menjadi Presiden FAM, Tan Sri Annuar dan calon calon lain yang berhasrat mahu memegang kerusi panas badan induk bolasepak Malaysia perlu mendapatkan sokongan daripada anggota gabungan dan perwakilan Kongres FAM ke 53 Mac depan untuk pemilihan yang baru bagi sesi 2017-2021.

Selain Tan Sri Annuar Musa, individu lain yang turut dikaitkan sebagai calon bagi Presiden FAM adalah pemilik kelab Johor Darul Takzim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tan Sri Tony Fernandes dan Tan Sri Aseh Che Mat.

Tambah Tan Sri Annuar lagi, FAM memerlukan perancangan jangka panjang yang efisien untuk melakukan perubahan ke atas skuad kebangsaan.

Malah, keputusan exco exco FAM yang turut berhasrat untuk mengundurkan diri dilihat satu yang baik kerana FAM memerlukan ‘pasukan yang baru’.

“Bila kata mereka nak melepaskan jawatan sudah tentu mereka membuat keputusan secara kolektif. Seelok-eloknya tidak usah pegang jawatan dalam kepimpinan baharu nanti. Ia sudah bercanggah.

“Bagi saya mereka perlu rehat sekejap dan biar orang yang tidak berada dalam kepimpinan sekarang membentuk satu pasukan baharu dan mengendalikan FAM supaya dari situ kita boleh lihat sama ada berlaku perubahan atau pun tidak,” katanya lagi.

- Advertisement -