indomas

Oleh Muhammad Aiman

Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat mengakui kekalahan 0-3 Malaysia kepada Indonesia dalam aksi persahabatan antarabangsa dua hari lalu hadir sebagai satu tamparan hebat dalam masa sama menunjukkan betapa pincangnya skuad negara ketika ini terutama di barisan pertahanan.

Segalanya serba tidak menjadi buat Harimau Malaysia namun Khairul Fahmi yang melepaskan tiga gol dalam tempoh 21 minit pertama berpendapat tiada gunanya jika semua pihak saling menuding jari mencari kesalahan sebaliknya perlu melihat kekalahan dari sudut positif.

“Memang mengecewakan dan memalukan apabila tewas dalam perlawanan antarabangsa dengan keputusan sebegini. Namun ia menjadi lumrah perlawanan dan kami perlu segera bangkit, belajar dari kesilapan yang dilakukan pada perlawanan ini.

“Pemain lawan menghukum kesilapan mudah yang kami lakukan, selepas lebih setahun tidak beraksi kerana digantung, mereka cukup bersemangat mahu meraikannya dengan mencatat kemenangan.

“Kita beruntung kerana ini hanyalah satu perlawanan persahabatan, sekurang-kurangnya kekalahan ini membolehkan kita menilai dan memperbaiki, menutup mana-mana kelemahan yang ada. Tidak perlu salahkan mana-mana pemain kerana semua pemain bertanggungjawab atas keputusan yang diraih, ini akan menjadi pengajaran buat kami.

“Kita masih ada dua bulan sebelum Piala AFF Suzuki, saya percaya kita masih ada masa dan akan bangkit tepat pada waktunya,” ujar penjaga gol Kelantan itu yang mula menyarung jersi kebangsaan pada 2010.

Pada perlawanan di Stadium Manahan di Solo, Indonesia meraikan kembalinya mereka ke arena bolasepak antarabangsa selepas lebih setahun dengan penuh bergaya, dengan kapten pasukan, Boaz Salossa menjaringkan dua gol manakala satu lagi dijaringkan Irfan Bachdim.

Jurulatih, Dato’ Ong Kim Swee pula mempertaruhkan ramai gandingan baru pada perlawanan itu ekoran ketiadaan beberapa tonggak utama gara-gara persaraan dan juga kecederaan justeru menyifatkan sukar untuk membentuk keserasian pemainnya dalam tempoh yang begitu singkat.

- Advertisement -