Misi memburu gelaran juara keseluruhan bagi kelas ASB1000cc pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini sudah bermula apabila pusingan terakhir kejuaraan berprestij itu membuka tirai di Litar Antarabangsa Chang Buriram hari ini.

Tumpuan sudah pasti terarah kepada pelumba Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan ONEXOX TKKR SAG Team dan pelumba Australia, Broc Parkes (Yamaha Racing Team ASEAN) yang kini menghuni dua kedudukan teratas dalam carta keseluruhan.

Parkes masih selesa memimpin kedudukan dengan meraih 212 mata manakala Azlan di kedudukan kedua dengan 193 mata.

Seorang lagi pelumba Malaysia, Md Zaqhwan Zaidi (Honda Asia Dream Racing with Showa) di kedudukan ketiga keseluruhan denga mengumpul 166 mata.

Azlan perlu tampil maksimal pada saingan kali ini jika mahu menjulang gelaran juara keseluruhan kelas perdana itu musim ini.

Itupun jika pencabarnya, Parkes gagal meraih sebarang mata pada saingan kali ini.

Azlan memiliki rekod cemerlang di litar sejauh 4.554 kilometer itu dan dia pernah mencipta kemenangan berganda pada aksi Pusingan 3 sebelum ini.

Jika rentak cemerlang itu berterusan, impian untuk melakar satu lagi kejutan di Buriram bakal terlaksana.

Hari ini, mereka memulakan sesi dengan pemanas badan apabila mengharungi tiga sesi latihan bebas yang menyaksikan penguasana Azlan pada sesi pertama.

Sesi tersebut bertindak sebagai medan buat mereka untuk menguji kemampuan jentera selain mencari pelarasan terbaik bagi mengharungi perlumbaan sebenar esok.

Zaqhwan pula tidak kurang hebatnya apabila muncul pelumba terpantas pada sesi latihan kedia dengan catatan masa 1:36.544 saat (s) sepusingan.

Pakers pula kelihatan agak konsisten dan berada di kedudukan tiga teratas pada sesi tersebut.

Begitupun, apa yang berlaku pada sesi latihan hari ini tidak boleh dijadikan ukuran kerana sebahagian besar pelumba masih belum tampil pada tahap maksimum.

Pastinya saingan akan lebih menarik sebaik sesi kelayakan bermula esok bagi merebut kedudukan petak.

Sementara itu, saingan bagi kelas SS600cc terus menyaksikan penguasaan pelumba Thailand, Peerapong Boonlert (Yamaha Thailand Racing Team) yang muncul terpantas pada dua sesi latihan beas pada sebelah pagi tadi.

Walaupun sudah mengesahkan statusnya selaku juara keseluruhan kelas SS600cc musim ini, tetapi dia tetap menampil yang terbaik sebagai hadiah kepada para penyokongnya.

Begitupun, dia berdepan tentangan sengit pada sesi ketiga selepas pelumba Malaysia, Muhamad Adan Mohd Norroddin (SIC Junior ZK Racing Team) memenanginya dengan catatan masa terpantas 1:38.981s.

Kasma Daniel Kasmayudin (Hong Leong Yamaha Malaysia) tampil kedua terpantas dengan masa 1:39.115s.

Esok, mereka bakal sekali lagi beradu tenaga unuk memburu kemenangan podium pada Perlumbaan 1.

Ends/

=====

29 NOVEMBER 2019

SIARAN MEDIA

PUSINGAN 7 KEJUARAAN MOTOSIKAL ASIA (ARRC)

AKID MULA MENGORAK LANGKAH

BURIRAM, 29 Nov – Rekod pelumba pasukan UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team, Md Akid Aziz pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini boleh dianggap cemerlang.

Beraksi dalam kelas Underbone 150cc, pelumba asal Kuala Lumpur itu sudah berjaya memenangi tiga perlumbaan setakat ini, sekali gus membolehkannya memimpin kedudukan keseluruhan dengan119 mata.

Kali terakhir dia muncul juara adalah pada aksi Pusingan 6 di Litar Antarabangsa Sepang bulan lalu selepas memenangi Perlumbaan 1.

Dia turut memenangi Perlumbaan 2 di Zuhai sebelum ini selepas melakukan pencapaian yang sama pada Pusingan 3 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram.

Kali ini, dia sekali lagi bertandang ke Buriram untuk mengharungi saingan penutup tirai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini.

Buriram boleh dikatakan antara litar kegemarannya untuk melakar kemenangan.

Selepas selesai enam pusingan, Akid berada di landasan yang tepat untuk melakar nama sebagai juara keseluruhan kelas UB150, namun dia wajib berada dalam kedudukan tiga teratas dalam dua perlumbaan yang bakal diharunginnya minggu ini.

Dia tidak boleh membiarkan pencabar terdekatnya, McKinley Kyle Paz (UMA Racing Yamaha Philippine Team) untuk berada di podium kerana ia boleh menggugat peluangnya untuk menjulang mahkota UB150.

McKinley yang telah muncul juara sebanyak dua kali setakat ini, menghuni kedudukan kedua keseluruhan dengan mengumpul 111 mata.

Hari ini, Akid seolah-olah memberi amaran awal kepada barisan pencabarnya apabila turun membuka gelanggang pada pusingan terakhir ARRC musim ini di Litar Antarabangsa Chang Buriram.

Ketika mengharungi dua sesi latihan bebas pada sebelah pagi, dia lebih banyak menggunakan masa untuk menguji prestasi jenteranya.

Pada sesi pertama, dia sekadar menghuni kedudukan keenam terpantas dengan masa 2:02.318 saat (s) sepusingan manakala pada sesi kedua dia muncul pelumba ke-12 terpantas dengan catatan masa 2:01.593s.

Begitupun, dia kembali mempamerkan watak sebenarnya pada sesi kelayakan apabila muncul pelumba terpantas dengan catatan masa 1:59.784s, sekali gus tercatat sebagai rekod terpantas sesi tersebut di litar sejauh 4.554 kilometer itu.

Esok dia akan kembali ke gelanggang untuk sesi Superpole bagi menentukan kedudukan petak sebelum mengharungi perlumbaan 1 pada sebelah petangnya.

“Sesi hari ini lebih tertumpu terhadap persediaan jentera. Kami perlu mencari pelarasan terbaik bagi memastikan kempen pada aksi penutup tirai ini berjalan dengan lancar,” jelas Akid.

Berdasarkan kemampuan jenteranya pada sesi hari ini, ia bukan perkara mustahil buat Akid untuk menguasai saingan dengan syarat Yamaha Y15ZR yang ditunggangnya kekal mantap.

Seorang lagi pelumba Malaysia, Ahmad Fazli Sham dari pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing Team muncul kedua terpantas dengan catatan masa 1:59.940s manakala Rozaiman Md Said (Cardinals Racing Team) di kedudukan ketiga terpantas dengan masa 2:00.038s.

Ahmad Fazli turut tampil pelumba terpantas pada dua sesi latihan bebas di sebelah pagi tadi.

Kedudukan lima teratas pada sesi kelayakan kelas UB150 itu dikuasai pelumba Malaysia dengan Md Affendi Rosli (Team One For All) di kedudukan keempat dengan masa 2:00.197s dan Md Haziq Md Fairues (UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia) pula di tempat kelima terpantas dengan masa 2:00.314s.

Sementara itu, kelas AP250 yang membuka gelanggang dengan tiga sesi latihan bebas hari ini menyaksikan penguasaan barisan pelumba Indonesia, Rafid Topan Sucipto dari pasukan Bike Corner SYS KYT Racing Team.

Meskipun kurang menyerlah pada sesi latihan bebas pertama, pelumba yang menunggang jentera Honda CBR250 RR itu tampil hebat pada sesi kedua dan ketiga masing-masing dengan catatan masa terpantas 1:53.725s serta 1:53.039s.

Md Muzakkir Mohamed (ONEXOX TKKR SAG Team) muncul pelumba terbaik Malaysia pada sesi tersebut selepas menduduki tempat ke-13 pada sesi ketiga dengan masa 1:54.828s.

- Advertisement -