Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyifatkan sentuhan barisan depan yang kurang menyengat adalah kelemahan utama yang perlu segera diperbaiki skuad Harimau Malaya selepas kekalahan 0-2 kepada Vietnam dalam aksi ketiga peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2018 pada Jumaat.

Meskipun akur bahawa pasukannya tewas kepada sebuah pasukan yang lebih baik, Cheng Hoe berpendapat keputusan berbeza dapat dilakar seandainya barisan depan berfungsi dengan lebih efektif.

“Vietnam diketahui sebagai pasukan yang berkualiti, mereka telah bertahan dan merancang pelan permainan dengan begitu baik. Kita menguasai perlawanan, tetapi gagal menggerakkan serangan sebaik mungkin dan seperti hilang idea untuk memecahkan tembok pertahanan mereka.

“Saya perlu akui masalah utama kita ketika ini adalah kita tidak cukup mengancam, tidak menyengat ketika menyerang, itu adalah apa yang perlu digilap dan kita tidak boleh ulanginya ketika menentang Myanmar nanti,” ujar Cheng Hoe. 

Walaupun meratapi sentuhan barisan depan, Cheng Hoe bagaimanapun berpuas hati dengan prestasi pasukan secara keseluruhan dalam aksi itu yang mana Malaysia tampil lebih dominan dan lebih yakin di dalam memegang bola.

“Kita bermain dengan lebih baik daripada dua perlawanan terdahulu dan saya cukup berpuas hati dengannya, kita ada buat kesilapan dan lepaskan gol awal dalam tempoh 15 minit pertama yang sedikit menganggu fokus tetapi dalam 90 minit pertahanan kita telah beraksi mantap dan mengehadkan peluang buat Vietnam.

“Mereka hanya mendapat dua peluang dan menyudahkannya, kita pula tidak memanfaatkan peluang hanya itu yang membezakan jadi secara keseluruhan kita telah menunjukkan satu peningkatan yang cukup baik,” kata Cheng Hoe.

Pada perlawanan berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi itu Cheng Hoe membuat empat pertukaran ke dalam skuad yang menewaskan Laos tempoh hari dengan menurunkan Shahrel Fikri Fauzi, Mohamadou Sumareh, Akhyar Rashid di depan manakala Syamer Kutty Abba di posisi tengah.

Begitupun, ia tidak cukup untuk membantu Malaysia mencatat kemenangan ketiga sebaliknya jaringan minit ke-11 oleh Nguyen Cong Phuong dan jaringan rembatan kaki kiri Nguyen Anh Duc pada minit ke-60 mengesahkan kemenangan buat Vietnam.

Kekalahan menyaksikan Malaysia tergelincir ke tangga ketiga kumpulan manakala Myanmar yang bangkit menewaskan Laos3-1 melonjak ke tangga teratas, Vietnam pula di tangga kedua.

Ketiga-tiga pasukan mengumpul enam mata dan hanya dipisahkan menerusi beza jaringan.

Malaysia perlu mengharapkan Vietnam menewaskan Myanmar dalam aksi seterusnya dan mereka sendiri perlu menewaskan pasukan itu dalam aksi terakhir pada 24 November untuk menempah tiket beraksi di separuh akhir. – OLEH MUHMMAD AIMAN

- Advertisement -