Ketua pasukan Singapura, Hariss Harun berpendapat kerjasama sepasukan akan menjadi kunci utama buat pasukannya memburu gemilang di Piala AFF 2018.

Singapura yang merupakan juara empat kali telah diundi di dalam Kumpulan B bersama-sama Indonesia, Thailand, Filipina dan Timor Leste. Hariss yang merupakan anggota skuad juara 2012 mengakui ianya undian sukar namun mereka boleh menghadapinya dengan positif jika menunjukkan kesatuan.

“Cabaran yang akan kami hadapi memang sukar, tetapi jika kami ingin mencapai sesuatu, kami harus menempuhi ujian berat itu dan melakukan pengorbanan. Saya tahu memang ramai antara kami telah banyak berkorban dan ini masanya untuk cuba mendapatkan hasil yang bagus daripada itu.

“Tetapi kami perlu sedar, satu-satunya cara untuk kami mencapainya adalah dengan melakukannya bersama-sama, sebagai satu pasukan dan tidak mementingkan gemilang peribadi,” kata Hariss.

Dalam masa sama, pemain tengah Johor Darul Takzim itu juga memberi peringatan kepada rakan sepasukannya agar tidak hilang fokus dan dapat menyerlahkan aksi terbaik pada perlawanan pembukaan Piala AFF bertemu Indonesia di Stadium Nasional Singapura, Jumaat ini.

Sebagai makluman, skuad Singapura di bawah kendalian Fandi Ahmad telah menjalani sesi latihan dan perlawanan persahabatan selama 12 hari di Osaka, Jepun pada bulan lalu.  

Walaupun gah dengan reputasi sebagai negara kedua paling banyak memenangi kejuaraan Piala AFF selepas Thailand, Singapura gagal melepasi halangan peringkat kumpulan dalam dua edisi lalu pada 2014 dan 2016.

Mereka sebelum ini telah muncul juara pada tahun 1998, 2004, 2007 dan 2012. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -