Belum sempat merangka program jangka panjang bersama Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi tidak lagi bersama badan itu.

Beliau yang memegang jawatan selaku Pengerusi ISN ditamatkan perkhidmatannya berkuat kuasa serta-merta.

Azim mengesahkan telah menerima surat penamatan perkhidmatan daripada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Beliau menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka dan mengucapkan terima kasih kepada warga ISN yang telah memberikan kerjasama sepanjang tempoh perkhidmatannya sejak 2017.

Azim masih menjalankan tugas sebagai Chef de Mission Malaysia ke Sukan Asia di Indonesia Ogos depan serta mengekalkan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Penamatannya mungkin dikaitkan dengan prestasi Azim dalam ISN yang turut berperanan mengendalikan Program PODIUM.

Pelbagai persoalan timbul tentang kredibilitinya susulan aksi hambar atlet dibawah program berkenaan khususnya ketika saingan Sukan Komanwel di Gold Coast pada April.

Andai penilaian dalam tempoh kurang setahun menjadi kayu ukur, sesiapa sahaja yang bakal mengisi jawatan di dalam ISN perlu bersedia sepenuhnya termasuk memiliki program jangka pendek yang mampu menghasilkan keputusan yang baik dengan kos yang paling menjimatkan.

Mungkin ini adalah permulaan kepada proses perubahan kerana desas desus mengatakan revolusi melibatkan ISN dan Majlis Sukan Negara (MSN) dimana kedua dua agensi ini akan digabungkan dibawah satu pentadbiran.

 

- Advertisement -