Azlan Shah Kamaruzaman menepati ramalan apabila menjuarai Perlumbaan 1 kelas ASB1000 pada Pusingan 6 Kejuaraan Motosikal Asia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam

Pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team itu menamatkan perlumbaan 11 pusingan itu dengan catatan masa 23:30.254 saat (s), sekali gus menghadiahkan kemenangan kedua buat pasukannya yang turut cemerlang dalam kelas SS600sebelum itu menerusi kejayaan Md Ramdan Rosli.

Ia kemenangan kedua dilakar oleh Azlan di Litar Sepang selepas melakukannya pada Perlumbaan 1 aksi pembuka tirai di gelanggang yang sama pada Mac lalu.

Begitupun, Azlan menganggap kemenangan itu bukan ulangan pada aksi pembuka tirai sebelum ini sebaliknya, ia memang sudah menjadi sasarannya sebelum turun ke gelanggang.

“Sasaran saya adalah untuk memastikan kemenangan menjadi milik kami dan saya telah bekerja keras untuk merealisasikan impian besar ini.

“Malah, saya juga menanam tekad untuk melakukan penyudah podium memandangkan Litar Sepang memang kegemaran saya. Saya perlu buktikannya.

“Ia bukan sesuatu yang mudah kerana perlumbaan tadi agak pantas serta banyak menggunakan kestabilan tayar. Namun, saya berupaya mengatasi segala cabaran sepanjang perlumbaan tersebut,” jelas Azlan yang mengidamkan satu lagi pencapaian serupa pada Perlumbaan 2 esok.

Pada perlumbaan tersebut,Thitipong Warokom (Kawasaki Thailand Racing Team) muncul naib juara dengan catatan masa  23:31.641s manakala rakan senegaranya, Apiwath Wongthananon (Yamaha Thailand Racing Team) di tmepat ketiga dengan masa 23:31.806s.

Pendahulu keseluruhan, Broc Parkes (Yamaha Racing Team ASEAN) sekadar berada di tempat keempat dengan masa 23:37.187s.

Malang manimpa pelumba Honda Asia Dream Racing with SHOWA, Md Zaqhwan Zaidi yang terkeluar daripada saingan selepas terjatuh pada lap kedua.

Selepas perlumbaan 1 itu, Broc kekal mendahlui kedudukan keseluruhan kelas  ASB1000 dengan 201 mata manakala Azlan mengambil alih tempat kedua daripada Zaqhwan (153) dengan mengumpul 168 mata.

Mereka akan sekali lagi membuat perhitungan pada Perlumbaan 2 yang dijadualkan berlangsung pada sebelah petang.

- Advertisement -