Oleh Ku Mohd Lufti

Dua jaringan pemain tengah, Baddrol Bakhtiar dipenghujung babak pertama dan separuh masa kedua memastikan Kedah muncul juara Piala FA dengan menewaskan juara 2014, Pahang 3-2.

Ternyata Stadium Shah Alam yang menjadi venue perlawana final diantara kedua dua pasukan padat dengan penyokong kedua dua pasukan yang menantikan pertemuan sulung di pentas akhir Piala FA.

Benteng Tok Gajah hanya mampu bertahan selama 20 minit sebelum Ken Ilso menampan bola dengan dada hasil hantaran silang rakan sepasukan untuk meletakkan Kedah mendahului 1-0.

Derita Pahang kian bertambah apabila Francisco Inso Bohigues dilayangkan kad merah kerana melakukan kekasaran ke atas Khairul Helmi Johari.

Peluang itu di manfaatkan Lang Merah untuk mengasak kubu pertahanan Tok Gajah yang juga juara Piala FA sebanyak dua kali.

Penghujung babak pertama, Baddrol Bakhtiar melebarkan kedudukan kepada 2-0 selepas melepaskan rembatan rendah melepasi jangkauan penjaga gol Pahang, Wan Muhammad Azraie Wan Teh.

Namun, semangat juang Pahang kembali menyala apabila pemain import kelahiran Korea Selatan, Hoe Jaewon merapatkan jurang 1-2.

Tatkala Pahang terus membara memburu gol penyamaan, kealpaan pertahanan sekali lagi dihukum Baddrol apabila menyumbat gol kedua peribadinya di pentas final sekaligus kembali melebarkan kedudukan kepada 3-1 untuk Kedah di minit ke 72.

Pahang ternyata masih belum mahu mengalah dan kembali merapatkan jurang gol menerusi tandukan Mohamadou Sumareh di minit ke 80.

Di penghujung permainan, Mohamadou sekali lagi mempunyai peluang terhidang untuk menyamakan kedudukan sekaligus menangguhkan pesta kemenangan Kedah, namun bola sekadar melewati tiang gol.

Kedah muncul juara sekaligus merupakan trofi kedua musim ini selepas memenangi Piala Sumbangsih diawal musim.

Ini juga merupakan trofi Piala FA keempat Kedah selepas memenanginya pada 1996, 2007, dan 2008.

- Advertisement -