Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima suntikan kewangan berjumlah RM300,000 dari Bank Islam Malaysia Berhad untuk membantu pembangunan sukan tersebut.

Selain itu, BAM juga akan menerima tambahan sumbangan dari institusi kewangan patuh syariah itu menerusi pelancaran Kad Debit-I Bank Islam bersama Visa.

Majlis pengumuman tajaan dan pelancaran kad debit tersebut telah disempurnakan Presiden BAM, Dato’ Seri Mohamad Norza Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamaruddin dalam satu majlis di ibu negara, pada Khamis.

Bercakap pada sidang media selepas majlis, Norza menyatakan rasa teruja kerana BAM merupakan persatuan sukan individu pertama di Malaysia mendapat penajaan sebegini dari Bank Islam.

“Sebagai penyumbang pingat paling konsisten untuk negara, kami berharap agar kerjasama ini akan membantu pelan pembangunan dan pertumbuhan jangka panjang kami ke arah sasaran utama memenangi emas olimpik pertama di Tokyo 2020.

“Saya percaya bahawa hasil kerjasama ini dapat dimanfaatkan bersama, dan berharap agar Bank Islam terus menjadi rakan kongsi aktif di masa hadapan,” katanya.

Untuk rekod, ini adalah kali ke-16 Bank Islam bekerjasama dengan persatuan sukan sekaligus menyaksikan mereka terlibat dalam kerjasama dengan hampir semua persatuan bolasepak kebangsaan dan negeri, persatuan hoki, universiti-universiti dan syarikat telekomunikasi.

Menurut Khairul, pelancaran kad ini bukan sahaja untuk meluaskan inisiatif penjenamaan bersama, tetapi sebahagian daripada strategi Bank Islam dalam meluaskan rangkuman kewangan kepada peminat-peminat sukan seluruh tanah air.

“Sebagai pengantara kewangan, adalah menjadi misi kami untuk membantu merealisasikan hasrat Bank Negara membentuk masyarakat tanpa tunai (cashless society). Kami akan terus meluaskan usaha penjenamaan bersama ini dan bekerjasama dengan lebih banyak lagi institusi bagi menawarkan nilai istimewa kepada pelanggan dengan memfokuskan kepada segmen golongan muda secara menyeluruh.

“Kami sasarkan peningkatan pengeluaran sebanyak 50,000 kad dari inisiatif penjenamaan bersama ini yang sekaligus meningkatkan jumlah pengguna kad debit bank Islam kepada 3.2 juta di seluruh negara,” katanya.

Kad debit Bank Islam BAM menawarkan pelbagai faedah menarik kepada pemegang dan sebahagian daripada fi pengeluaran dan tahunan kad tersebut akan disalurkan kepada BAM sebagai sumbangan daripada Bank Islam dan pemegang kad untuk pembangunan sukan badminton.

Dengan setiap kad yang dikeluarkan dan diperbaharui, sebanyak RM2 akan disalurkan kepada BAM bagi tujuan tersebut.  Kad debit-i Bank Islam Visa BAM boleh didapati di cawangan-cawangan Bank Islam seluruh negara bermula minggu ketiga bulan April 2018. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -