bkt.jalil

Oleh Ku Mohd Lufti

Fasa pertama Bandaraya Sukan yang sudah siap 30 peratus membolehkan Stadium Nasional Bukit Jalil berada pada landasan tepat untuk menganjurkan Sukan SEA 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia Azman Fahmi Osman berkata Stadium Nasional yang berwajah baru itu akan menjadi sebuah bangunan ikonik yang boleh dibanggakan rakyat Malaysia.

“Kerja utama di Stadium Nasional adalah termasuk pemasangan lampu LED, lobi baru VIP, menaik taraf lampu limpah, menukar bangku dan memasang trek baru,” katanya kepada pemberita di tapak Bandaraya Sukan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Nalgunalingam Satgunalingam berkata pihaknya bekerja keras untuk menyiapkan projek itu dalam tempoh yang ditetapkan.

“Sehingga hari ini, kami bekerja 23 jam sehari, tujuh hari seminggu untuk memastikan segalanya berjalan lancar mengikut perancangan,” katanya.

Fasa pertama projek itu memberi tumpuan kepada kerja menjana semula Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Putra, Pusat Akuatik Nasional dan Stadium Hoki Nasional, selain meningkatkan rangkaian pengangkutan awam serta menambah akses pejalan kaki di tapak berkenaan.

Selepas selesai fasa satu yang bernilai RM500 juta dan berakhirnya Sukan SEA 2017, MRCB akan memulakan fasa dua pada awal 2018.

Fasa kedua akan membabitkan kerja menjadikan Bandaraya Sukan sebagai hab bersepadu sukan dengan infrastruktur baru berkelas dunia termasuk kemudahan latihan untuk sukan berprestsi tinggi, pusat pemulihan sains sukan, taman belia, kemudahan sukan awam, pusat konvensyen dan komplek membeli belah berasaskan sukan.

- Advertisement -