Selepas bermula dengan kempen memberangsangkan di Greece, pasukan profesional benua dari Itali, Bardini CSF mengalihkan tumpuan ke Le Tour de Langkawi 2018 pula dengan matlamat utama mahu membantu pakar pecut barunya, Andrea Guardini menambah rekod kemenangan peringkat dalam jelajah terunggul Asia itu.

Dengan membariskan kumpulan pelumba yang akan membantu Guardini dalam pecutan ke garisan penamat nanti, pengurus pasukan Roberto Reverberi menyenaraikan dua pelumba pembantu iaitu Michael Bresciani dan Paolo Simion yang bakal bertindak membantu menarik pelumba Itali berusia 29 tahun itu dalam pecutan terakhirnya.

Simone Sterbini, Umberto Orsini dan Luca Wackermann pula akan menerajui cabaran pasukan itu dalam satu-satunya peringkat pendakian di Cameron Highlands.

“Satu pasukan dihantar ke Greece sebelum ini memberikan keputusan yang bagus, dan dalam perlumbaan lapan peringkat LTdL yang juga perlumbaan penting di sebelah Timur, ia akan menjadi satu lagi cabaran bagi satu lagi kumpulan pelumba kami.

“Perlumbaan di Malaysia ini menjadi perlumbaan yang penting bagi pasukan berjersi hijau (#GreenTeam) ini kerana di sinilah kami sering berlumba pada awal musim sejak beberapa tahun lalu,” kata Reverberi.

Pada tahun lalu, Bardiani mencatat kemenangan pertamanya bagi musim 2017 menerusi Enrico Barbin di LTdL, dan selepas mencatat dalam Tour of Rhodes di Greece awal tahun ini menerusi Mirko Maestri, Reverberi berkata, Bardiani mahu menambah koleksi kemenangan menerusi Guardini pula di LTdL.

Guardini yang juga diberi jolokan Mr Langkawi kerana memegang rekod kemenangan peringkat terbanyak di LTdL dengan 22 kemenangan, kurang menyerlah ketika berhijrah ke pasukan UAE Abu Dhabi pada tahun lalu.

Begitupun, dia berpeluang untuk kembali bersinar apabila menyertai Bardiani yang terkenal dengan kehebatan melahirkan ramai pakar pecut handalan.

“Kami melangkah ke LTdL dengan moral yang cukup tinggi dengan sasaran mahu meninggalkan impak besar. Kami hadir dengan pasukan yang mantap, dengan sokongan penuh buat Guardini dalam pecutan penamatnya.

“Dengan seorang pakar pecut yang terhandal dalam jelajah ini, kami sedar kami mempunyai peranan yang besar sepanjang lapan hari saingan nanti.

“Selain itu, kami juga mahu menghasilkan keputusan yang baik dalam peringkat pendakian menerusi Sterbini, yang berkayuh dengan baik setakat ini supaya segala kerja keras pasukan ini dalam latihan sepanjang Januari lalu berbaloi,” kata Reverberi lagi.

Bardiani CSF bukanlah pasukan asing dalam sejarah LTdL kerana pasukan berpangkalan di Itali ini turut memeriahkan saingan pada edisi awal LTdL apabila tampil dengan nama Scrigno-Gaerne, Navigare-Gaerne, Ceramiche-Panaria, Panaria dan CSF Group sebelum bertukar kepada Bardiani CSF.

Menerusi LTdL juga, pasukan ini turut melahirkan beberapa jaguh pecut ternama dunia termasuk Alesandro Petacchi, Graeme Brown dan Max Richeze.

Edisi ke-23 Le Tour de Langkawi akan bermula dengan majlis pengenalan pasukan di Pulau Langkawi pada Jumaat sebelum tirai saingan Peringkat 1 dari Kangar ke Kulim dibuka pada Ahad.

Perlumbaan dengan jarak keseluruhan 1,341.2 km berstatus 2.HC dalam kalendar Jelajah Asia UCI itu akan disertai 22 pasukan dan laluannya melibatkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia.

LTdL 2018 dianjurkan Ciclista Sports dengan sokongan penuh kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan. 

- Advertisement -