Kemenangan sulung yang dilakar dalam saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) nyata menaikkan moral Johor Darul Takzim untuk terus memburu keputusan yang positif dalam saingan peringkat kumpulan.

Jaringan tunggal pemain import dari Argentina, Leandro Velazquez pada separuh masa kedua perlawanan sudah cukup membantu JDT, yang sebelum ini tewas tipis 0-1 di tangan pasukan Jepun, Nagoya Grampus, Selasa lepas, untuk memperoleh tiga mata berharga ke atas Ratchaburi FC dalam aksi kedua saingan Kumpulan G Liga Juara-Juara AFC.

Jelas pengendali JDT Benjamin Mora, perlawanan dengan kelab dari Thailand itu bukan tugas yang mudah.

Namun semangat juang yang ditunjukkan para pemain sehingga ke penghujung perlawanan bukan perkara yang mudah untuk ditunjukkan secara konsisten.

“Kami telah kehilangan banyak peluang, dan kebiasaannya pasukan mengalah dalam situasi seperti itu. Tetapi kami tidak mengalah dan itulah semangat juang, ciri dalam pasukan ini. Ia adalah permainan yang sukar terutama babak kedua tetapi mendapat tiga mata adalah perkara yang paling penting bagi kami,”kata Mora menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman sosial Johor Southern Tigers.

Tambah Mora lagi, semangat pemain tampak merudum apabila peluang keemasan untuk mendahului saingan menerusi sepakan penalti gagal disempurnakan oleh Bergson Da Silva.

Malah, deretan peluang terhidang gagal untuk merobek gawang Ratchaburi FC sehinggalah Leandro Velazquez meledak voli cantik untuk membutirkan tiga mata berharga buat JDT.

“Para pemain beraksi dalam perlawanan yang sangat mencabar dengan pasukan tempatan dari Thailand dan mereka adalah pasukan yang sukar kerana mereka mempunyai banyak varian, tetapi kami berjaya mengawal aksi mereka.

“Kami mengawal permainan dari segi penguasaan bola, transisi dan pertahanan. Bola sepak sememangnya memberi anda kejutan… kami tidak dapat menjaringkan penalti dan emosi mulai bercampur tetapi kami dapat memperbaiki keadaan pada separuh masa berikutnya. Dan dari situ saya merasakan kami telah melakukan tugas yang sangat baik pada babak kedua dalam mengekalkan corak serangan,”katanya lagi.

Selepas dua perlawanan, Nagoya Grampus memungut enam mata untuk kekal mendahului Kumpulan G manakala perbezaan jaringan meletakkan JDT di tempat kedua dengan tiga mata diikuti FC Pohang Steelers di tempat ketiga juga dengan tiga mata dan Ratchaburi FC kekal di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

 

 

- Advertisement -