bernhardt.training

Oleh Ku Mohd Lufti

Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Frank Bernhardt menyenaraikan pemain Kedah, Farhan Roslan dalam senarai 27 pemain yang akan beraksi di Piala Negara Negara Jun depan.

Farhan mengalami kecederaan pangkal paha dilihat hampir pasti tidak akan disenaraikan, namun Bernhardt berpendapat pengalamannya beraksi dalam skuad utama Lang Merah sangat diperlukan.

“Kami ada sedikit kejutan di mana Farhan Roslan telah disahkan pulih daripada kecederaan pangkal paha oleh fisio pasukan manakala Shah Amirul pula mengalami kecederaan lutut. Kami turut menerima laporan bahawa Shah tidak dapat beraksi sekurang-kurangnya untuk tempoh dua minggu.”

” Walaupun saya memanggil balik Farhan, saya tetap memantau kecederaannya yang baru pulih namun berharap dia cergas sepenuhnya untuk bermain untuk pasukan ini”.

Pasukan muda negara ketika ini sedang berada di Melaka bagi persediaan menghadapi Kejohanan Piala Negara Negara 2016 yang akan bermula 3 Jun ini.

Malaysia akan berdepan Singapura manakala Thailand berdepan Vietnam, pemenang dua perlawanan ini akan berentap di pentas final pada 5 Jun manakala pasukan yang tewas akan bermain untuk penentuan tempat ketiga dan keempat.

Ini adalah ujian kedua Frank Bernhardt selaku pengendali skuad projek Sukan SEA 2017 selepas dua aksi persahabatan menentang skuad bawah 22 tahun Filipina dan skuad senior Nepal penghujung Mac lalu.

- Advertisement -