20160528 - Liga KPM B14 SSM Bukit Jalil(red) vs SSN Kelantan-004
SSM Bukit Jalil (merah/hitam) vs SSN Kelantan (putih/hitam)
20160528 - Liga KPM B14 SSM Bukit Jalil(red) vs SSN Kelantan-003
SSM Bukit Jalil (merah/hitam) vs SSN Kelantan (putih/hitam)

20160528 - Liga KPM B14 SSM Bukit Jalil(red) vs SSN Kelantan-002

SSM Bukit Jalil mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas SMK Putera seterusnya mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pendahulu Liga Super Piala Menteri Pelajaran (B-14).

Beraksi di padang sintetik Majlis Sukan Negara Bukit Jalil, anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail menterjemahkan aksi menyerang menghiburkan dan melancarkan serangan bertali arus ke gawang SMK Putera dari awal permainan.

SMK Putera bagaimanapun berjaya mengimbangi permainan dengan turut mencipta peluang menjaringkan gol dan bertahan dengan ampuh untuk mengecewakan barisan depan tuan rumah sekaligus menamatkan separuh masa pertama tanpa jaringan.

SSM Bukit Jalil yang turut gagal menemui gawang dalam dua perlawanan terdahulu, menebus kecewa pada separuh masa kedua apabila Afiq Daniel Ismail membuka jaringan pada minit ke-39 dan Alif Daniel Abdul Aziz menggandakan jaringan sepuluh minit kemudian.

Afiq melengkapkan kemenangan 3-0 pada minit ke-53 sekaligus memastikan kedudukan SSM Bukit Jalil di tangga teratas tidak terusik, setelah mengumpul 18 mata, satu mata mengatasi pasukan tangga kedua SSM Tunku Mahkota Ismail.

Wan Rohaimi yang ditemui selepas perlawanan, memuji persembahan ditunjukkan barisan pemainnya, “Saya berpuas hati, bukan kerana menang tetapi cara mereka menyimpan bola, dan mencipta peluang. Cuma satu yang saya tidak puas hati, sentuhan penyudah.

“Sepanjang perlawanan rasanya ada lebih 10 peluang untuk kita tapi kita tidak jaringkan gol. Itu masalah kita. Perlawanan sebelum ini pun sama kita kuasai perlawanan dan cipta peluang, tapi tiada penyudah. Jadi cuti lebih sebulan ini saya harap perkara itu dapat diatasi.”

Manakala bagi jurulatih SMK Putera, Hanafiah Awang, dia tetap berpuas hati dengan kesungguhan ditunjukkan pemainnya walaupun kekalahan menyaksikan pasukannya terus terperosok di tangga tercorot dengan hanya lima mata.

“Walaupun tanpa lima pemain tonggak yang mengalami kecederaan, persembahan yang ditunjukkan tidaklah terlalu buruk. Kegagalan menyempurnakan beberapa peluang awal menghukum kita, dan kesilapan yang dilakukan ketika melepaskan gol pertama menjejaskan rentak keseluruhan permainan,” katanya.

Sementara itu, SMK Bukit Nenas dari Terengganu kekal di tangga ketiga selepas mencatat keputusan seri 1-1 menentang SMK Syed Hassan di gelanggang lawan.

Khairul Hafizudin meletakkan SMK Bukit Nenas mendahului 1-0 pada minit ke-35 dan pada ketika mereka di ambang meraikan kemenangan, Hafiz Haikal muncul pemusnah apabila menyamakan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa kedua untuk SMK Syed Hassan meraih satu mata.

SMK Seksyen 11 pula melonjak ke tangga kelima setelah melakar kemenangan kedua dengan menundukkan SMK Za’ba 2-1, menerusi jaringan Hairul Haikal dan Ahmad Anwar Fauzi.

Bagi saingan Liga Perdana Piala Menteri Pendidikan pula, SSM Pahang kembali mengambil alih kedudukan teratas selepas menundukkan SMK Tunku Anum T.A.R dari Kedah 2-1 menerusi jaringan Aznil Hafiz dan Najmuddin Akmal manakala gol saguhati buat Tunku Anum dijaringkan Amir Sukri.

Perlawanan lain menyaksikan pendahulu sebelum ini SMK Gunung Rapat sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang SMK Seri Kota dan tergelincir ke tangga kedua, manakala SMK Mutiara Impian terus memperbaiki kedudukan setelah mencatat kemenangan ketiga dengan menundukkan SMK Tun Hussein Onn 2-1.

 

KEPUTUSAN

LIGA SUPER PIALA MENTERI PENDIDIKAN (B14)

 

SSM Bukit Jalil                              3

SMK Putera (Kelantan)               0

 

SMK Za’ba (N.Sembilan)                1      

SMK Seksyen 11 (Selangor)           2

 

SMK Syed Hassan (Perlis)              1

SMK Bukit Nenas (Terengganu)      1

 

 

LIGA PERDANA PIALA MENTERI PENDIDIKAN (B14)

 

SMK Mutiara Impian (P.Pinang)      2      

SMK Tun Hussein Onn (Johor)        1

 

SMK Seri Kota (Melaka)                  0

SMK Gunung Rapat (Perak)           0

 

SMK Tunku Anum (Kedah)             1      

SSM Pahang                                      2 

- Advertisement -