Sukma XVII Perlis 2014 LogoSukan Malaysia di sini menyaksikan kontinjen terkecil Brunei Darussalam memulakan cabaran dengan langkah sumbang apabila kesemua atlet mereka yang beraksi di gelanggang silat dan karate kecundang di pusingan awal.

Acara silat yang menghadiahkan Brunei tiga pingat gangsa ketika temasya dua tahun lalu gagal mengulangi pencapaian tersebut setelah kedua-dua pesilat mereka, Md.Amirul Azmi Ali Hamzah dan Siti Nabila Ali terkandas di pusingan awal.

Amirul azmi yang beraksi dalam kategori 65 kilogram tewas di tangan pesilat Negeri Sembilan, Muhammad Ahmad Willing Aliff di pusingan kelayakkan.

Siti Nabila pula terpaksa akur kepada kehebatan pesilat Terengganu, Siti Khamisah Pohot dalam kategori 65 kilogram wanita di Kompleks Sukan Negeri di sini.

Acara karate yang berlangsung di Kolej Matrikulasi Perlis juga tidak menghadirkan keceriaan buat Brunei. Tiga atlet karate mereka terkandas di pusingan pertama acara Kumite semalam.

Syafiqah Awang Mohamed tunduk kepada kejaguhan peserta tuan rumah, Hazimah Jamil dalam kategori 45 kilogram wanita.

Harapan Brunei terus longlai selepas itu apabila Abang Muhammad Hasif Abang Perwira gagal menyaingi ketangkasan C.Kaartic dari sarawak dalam kategori 55 kilogram lelaki yang menyaksikan atlet Brunei itu terkandas di pusingan awal.

Turut gagal meneruskan kemaraan adalah Mairul Muhammad yang beraksi dalam acara Kumite 67 kilogram lelaki. Mairul kecundang kepada atlet Sabah, Mohd Taufik Jafar.

- Advertisement -