Walaupun mempunyai nama dan reputasi besar dalam arena bolasepak tanah air, tiada jalan mudah buat dua bekas pemain kebangsaan Azamuddin Akil dan Joseph Kallang Tie memecah masuk ke dalam kesebelasan utama pasukan baru mereka, Selangor musim depan.

Azamuddin atau popular dengan panggilan Alex menyertai Red Giants selepas digugurkan juara Liga Super, Johor Darul Takzim manakala kontrak Joseph pula tidak disambung Pahang.

Pengendali Selangor, P.Maniam mengakui kehadiran dua pemain itu yang berpengalaman luas adalah satu suntikan buat pasukan itu yang mempertaruhkan kudrat pemain muda musim depan namun menegaskan tiada layanan istimewa akan diberikan kepada mereka.

“Saya tahu kredibiliti mereka tetapi mereka tetap perlu membuktikan mereka lebih baik daripada pemain sedia ada dalam pasukan. Saya percaya Alex mahupun Joseph cukup professional,mereka sudah lama dalam industri ini dan tahu di mana-mana pun memang inilah yang menjadi amalan.

“Saya akan berikan peluang sama rata kepada semua pemain dan saya tahu Alex dan Joseph akan bekerja keras untuk membuktikan mengapa mereka layak menyarung jersi pasukan ini. Kita bukan sahaja mahu manfaatkan pengalaman dan kualiti mereka, tetapi kita juga mahu mereka menjadi contoh yang baik kepada pemain muda dalam pasukan,” ujar Maniam.

Selain Alex dan Joseph, tiada pemain berprofil tinggi tempatan yang lain menyertai Red Giants namun mereka diperkuatkan oleh tiga pemain import baru iaitu tonggak skuad B-23 Indonesia Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn serta pemain dari Brazil, Willian Pacheco.

Juara Piala Malaysia 33 kali itu turut berjaya mendapatkan khidmat pelatih B-23 kebangsaan, Sean Eugene Selvaraj selain menyerap lapan pemain dari skuad yang muncul juara Piala Presiden tahun ini dengan menewaskan Terengganu antaranya Syukri Azman, M.Tamil Maran, Azizul Baharudin, Amirul Haziq Rasmizal dan D.Kugan.

Selebihnya, pasukan yang menamatkan saingan Liga Super 2017 di kedudukan keenam itu mengekalkan khidmat beberapa pemain tonggak seperti Amri Yahyah, Razman Roslan, Khairul Azhan Khalid, Norazlan Razali, Syahmi Safari dan Rufino Segovia. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -