Prestasi hambar dan suram sehingga gagal mencatat walau satu pun kemenangan dalam lapan perlawanan sepanjang 2017 dan 12 perlawanan terakhir sejak 2016 selain ranking yang menjunam ke kedudukan 178 dunia, tidak dinafikan telah menjejaskan reputasi skuad bolasepak negara dengan teruk.

Situasi itu tidak dinafikan telah membuatkan penyokong-penyokong tawar hati, apatah lagi menentang lawan lemah yang berstatus semi-pro sekalipun, kemenangan sukar untuk diperoleh sehinggakan ada yang melabel Harimau Malaya sebagai ‘harimau sarkas’.

Bagi pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, segalanya akan berubah bermula dengan aksi menentang Bhutan Ahad ini. Keyakinannya cukup tinggi betapa kemenangan yang dicari sejak 16 bulan lalu akhirnya akan dilakar barisan pemainnya sekaligus menjadi tahun kebangkitan bolasepak Malaysia.

Dua perlawanan pertama kendalian Cheng Hoe berakhir seri 2-2 menentang Mongolia dan tewas 1-2 kepada Lubnan. Bermakna Cheng Hoe sendiri tertekan untuk menjelmakan kemenangan namun dia tenang menghadapi situasi ini.

Bekas pengendali Kedah itu mengakui barisan pemainnya bermain baik tanpa 12 tonggak dari Johor Darul Takzim dalam kekalahan kepada Lubnan walaupun kurang pengalaman antarabangsa dan skuad yang sama bakal menjadi pertaruhannya untuk membaham Bhutan.

“Memang saya gembira untuk melihat keserasian yang ditunjukkan pemain walaupun baru dikumpulkan, sudah tentu saya mengharapkan rentak permainan ditunjukkan ketika menentang Lubnan dapat diulangi. Apa yang penting kita perlu memperbaiki lagi kawalan bola, menyerang, mencipta peluang dan menjaringkan gol.

“Pemain perlu fokus dan bekerja keras sepanjang permainan kerana kita perlu menang. Bhutan tewas 0-7 kepada Maldives beberapa hari lalu, jadi sudah tentu mereka datang ke sini dan cuba bermain secara bertahan, penyerang kita perlu lebih kreatif,” ujar Cheng Hoe yang mempunyai Zaquan Adha Abdul Radzak, Jafri Firdaus Chew dan Akhyar Rashid sebagai sandaran barisan depan.   

Untuk rekod, Bhutan tewas semua enam aksi terakhir termasuk 14-0 kepada Oman dan 10-0 kepada Palestin pada tahun lalu selain bolos 40 gol dalam tujuh perlawanan. Kemenangan terakhir mereka adalah pada Oktober 2016 – tempoh hampir sama Malaysia lakar kemenangan terakhir.

Jadi mengambil kira semua ini, adakah pesta gol dapat dijangka Ahad ini sekaligus menyaksikan semula ngauman sang harimau, membuktikan mereka bukan ‘harimau sarkas’ atau ia akan menjadi satu lagi malam malapetaka buat bolasepak negara andai Bhutan pun gagal ditewaskan? – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -