v.shem.wee.kiong.5

Oleh Ku Mohd Lufti

Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu utama negara Goh V Shem – Tan Wee Kiong menempah tiket secara merit untuk beraksi di Kejohanan Badminton Siri Super Akhir di Dubai yang akan bermula dari 14 hingga 18 Disember depan.

Menerusi kedudukan terkini bagi ranking Siri Super yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini Datuk Lee Chong Wei menduduki tangga ke tujuh.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 menjuarai tiga daripada enam kejohanan Siri Super tahun ini – Terbuka Malaysia, Indonesia dan Terbuka Jepun – mengumpul 43,510 mata manakala pemain Denmark, Jan Jorgensen menghuni tangga teratas apabila mengutip 65,440 mata.

Manakala Goh V Shem – Tan Wee Kiong berada di kedudukan kedua bagi kategori bergu lelaki.

Siri Super Akhir merupakan kejohanan penutup bagi musim 2016, dan hanya lapan pemain terbaik akan mengambil bahagian berdasarkan kutipan mata daripada 12 kejohanan Siri Super sepanjang tahun ini.

Dalam pada itu, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia BAM, Morten Frost Hansen bagaimanapun tidak dapat memastikan adakah Datuk Lee Chong Wei bersedia untuk beraksi di Dubai.

“Kami tahu Chong Wei mengalami kecederaan hamstring sejak Oktober dan beliau tidak sihat minggu lepas,” Kata Morten Frost Hansen.

Perebutan gelaran juara kali ini lebih menarik apabila BWF memberikan slot wild card kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik dari China, Chen Long sekaligus melengkapkan kuota lapan pemain dalam acara perseorangan lelaki.

Chong Wei pernah memenangi kejuaraan Siri Super Akhir pada 2008, 2009, 2010 dan 2013.

- Advertisement -