Kasma Daniel Kasmayuddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor yang kini mendahului carta keseluruhan bagi Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix bagi kategori CP150 tidak akan menyertai pusingan keempat yang akan berlangsung di Litar Sepang Antarabangsa Selatan pada hujung minggu ini.

Kasma akan meneruskan semangat berlumba di arena Antarabangsa MotoGP di kategori perlumbaan Moto2 sebagai pelumba pengganti untuk Kohta Nozane dari pasukan Correos Prepago Yamaha VR46 Team untuk dua pusingan berturut-turut. Perlumbaan tersebut akan berlangsung di Mugello, Italy pada 11 Jun 2023 dan Sachsenring, Germany pada 18 Jun 2023.

Pelumba nasional ini yang kini menduduki tempat pertama dengan jumlah sebanyak 51 mata secara keseluruhan tampil dengan aksi yang menakjubkan di pusingan ketiga yang berlangsung di litar Jasin.

Beliau yang telah bermula di petak grid keenam di perlumbaan hari itu telah memaparkan kemahirannya untuk mencabar pelumba-pelumba di hadapan dengan aksi yang mantap sebelum merampas kedudukan ketiga di penghujung perlumbaan.

Menurut Kasma, “Saya minta maaf kepada pasukan saya dan “fans” kerana tidak sempat berlumba di Cub Prix pada hujung minggu ini.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “all the best” kepada pasukan saya dan pelumba-pelumba Cub Prix di Sepang nanti. Kita jumpa lagi di pusingan kelima nanti.”

Kasma akan kembali untuk bersaing di pusingan kelima Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix.

- Advertisement -