Musim ke-31 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan kembali hujung minggu ini untuk acara pembuka tirainya yang akan berlangsung di Bandar Jasin Bestari, Melaka.

Pelumba-pelumba Wira KBS akan beraksi sekali lagi untuk 10 pusingan dalam perjuangan meraih gelaran juara.

Md Adib Arsyad yang telah mencapai kedudukan ketujuh secara keseluruhan akan kembali pada musim ini untuk mengasah kemahiran dan bakatnya di kategori Wira KBS.

Pada musim lepas, pelumba yang berasal dari Johor ini telah membuktikan kemahirannya di litar teknikal pada pusingan kesembilan yang telah berlangsung di Tangkak di mana beliau menyambut kemenangan pertamanya.

Selain itu, beliau juga telah menaiki podium di kedudukan ketiga pada pusingan keempat yang telah berlangsung di litar Sepang. Namun begitu, di kategori yang agak mencabar ini, Adib harus meningkatkan lagi usahanya supaya dapat bersaing dengan lebih kompetitif dengan pelumba-pelumba lain.

Adib berkata, “Sebagai persiapan dari segi mental, saya melakukan sukan yang melibatkan “body contact” dan untuk fizikal pula, saya banyakkan senaman kardio dan “anaerobic modul”.

“Dengan ini, saya dapat mencari keseimbangan badan dan emosi yang diperlukan semasa perlumbaan. Musim lepas, saya banyak menghadapi tekanan yang menyebabkan prestasi yang agak rendah. Tahun ini, Insya Allah, kelemahan ini dapat diperbaiki sebaik mungkin. Pasukan saya juga telah menaikkan taraf jentera dari segi “handling” dan “geometry balance” namun begitu, kami masih belum ada sebarangan perancangan untuk prestasi enjin buat masa ini.

“Untuk tahun ini, pasukan kami telah melantik jurulatih tunggangan serta fizikal yang banyak memberikan kami tunjuk ajar. Bagi saya, pesaing terdekat adalah pasukan KC Racing dan 31 Racing. Akan tetapi, saya akan cuba sebaik mungkin dan sehabis baik untuk diri serta pasukan saya.”

Turut menyertai kategori ini untuk musim ke-31 adalah Raiyan Khardanee dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing yang telah berjaya meraih satu kemenangan pada musim lalu di pusingan keempat yang telah berlangsung di litar Sepang.

Selain itu, beliau juga telah menaiki podium di tempat kedua di pusingan satu yang juga berlangsung di litar Sepang. Kelebihan Raiyan terbukti di litar kelajuan tinggi di mana beliau telah menunjukkan teknik penguasaan yang hebat.

Namun begitu, pelumba dari Pahang ini perlu mempertingkatkan prestasinya di litar teknikal supaya dapat mencapai keputusan yang lebih konsisten.

Raiyan berkata, “Tahun ini, memang saya disiplinkan diri untuk sentiasa membuat latihan fizikal secara konsisten supaya badan saya lebih cergas untuk menggalang cabaran yang akan datang.

“Untuk musim ini, saya akan membawa jentera bernombor 32, berbeza dengan musim lepas di mana jentera saya bernombor 33. Musim lepas, saya hanya menaiki podium di litar Sepang, oleh itu, musim ini saya akan cuba sedaya upaya untuk meraih podium di litar berpagar.

“Sudah pasti saya perlu lebih memahami jentera dan litar untuk mencapai pencapaian yang lebih baik dan saya akan cuba sebaik mungkin. Pesaing kali ini dari pasukan KC Racing kerana saya rasa jentera dan rider mereka akan kompetitif. Pasukan saya telah banyak membantu saya.

“Mereka sentiasa memantau setiap latihan fizikal dan mental. Saya juga banyak berlatih dengan pasukan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Selain itu, “setup” jentera pun lebih baik bagi musim ini. Secara keseluruhannya, saya harus memperbaiki prestasi saya memandangkan saya sudah ada pengalaman. Saya agak bersedia dan tidak sabar berlumba.”

Selain itu, pelumba Honda Dash 125 Challenge, Md Akif Abdullah yang telah tampil dengan prestasi yang agak hebat pada musim lepas dan meraih gelaran juara juga akan menyertai kategori Wira KBS pada musim ini.

Beliau telah beraksi di kategori ini untuk tiga pusingan terakhir pada musim lepas dan berjaya menaiki podium di tempat ketiga di pusingan terakhir.

Pelumba yang berasal dari Pulau Pinang ini telah menunjukkan kemahiran dan potensi yang luar biasa dengan lima kemenangan dalam kategori “one-make” dan tiga podium yang telah memberikan beliau jumlah sebanyak 194 mata secara keseluruhan.

Menurut Akif, “Musim ini, saya akan berlumba untuk pasukan Honda KC Racing dan bersedia untuk merebut takhta serta mempertahankan kejuaraan pasukan. Musim lepas, Farish Iqmal telah menjadi juara.

“Musim ini, mungkin saya boleh melakukannya juga. Dari segi persiapan, saya banyakkan latihan di atas motor termasuk latihan moto-cross. Saya juga tidak tinggalkan latihan dari segi fizikal dan mental dan banyak menghabiskan masa di gym.

“Pasukan saya telah menyediakan jadual harian sebagai panduan dalam persediaan saya untuk pusingan pertama seperti jogging and senaman. Bagi saya, tahun ini sudah pasti tidak sama seperti tahun lepas kerana berlumba di kategori yang lebih mencabar. Tiada banyak dalam fikiran saya buat masa sekarang, cuma tidak sabar untuk pusingan pertama yang akan datang.

“Pada pendapat saya, pesaing utama saya mungkin Farish Putra dari 31 Racing dan juga Adib dari 27 Racing. Namun begitu, kelebihan saya adalah pasukan saya dan jentera yang telah disediakan dan saya percaya dengan kebolehan saya untuk menguasai kategori ini.”

- Advertisement -