Penyerang PJ City, Darren Lok, yang terpaksa berehat panjang hampir tiga bulan lalu ekoran mengalami keretakan di bahagian fibula mengharapkan dia mampu kembali mempamerkan bisanya bersama ‘The Phoenix’ sebaik Liga Super bersambung pada Julai depan.
Baginya, tempoh rehat lebih dua bulan ini sememangnya satu kebetulan yang baik buat dirinya kerana memberikan lebih banyak masa untuk pulih selepas terpaksa melupakan aksi selama lapan perlawanan bersama PJ City di Liga Super.
Sempat mencuri perhatian daripada peminat dengan ledakan tiga gol dalam tiga perlawanan pertama Liga Super, Darren mengharapkan prestasi baiknya dengan PJ City mampu diteruskan bagi menghadapi baki saingan musim ini.
“ Pemulihan saya nampaknya lebih lama daripada dijangka selain terdapat beberapa kecederaan susulan selepas itu malah saya belum boleh mencapai tahap yang membolehkan saya untuk sertai latihan.
“ Namun, saya kini sedang cuba berusaha kembali ke padang latihan sebelum Liga Super bersambung dan tempoh rehat yang lama ini sememangnya satu kesempatan buat diri saya agar tidak perlu tergesa-gesa untuk pulih.
“ Memang saya terasa sedikit sedih dan sukar untuk diterima kerana selepas bermain baik pada awal musim serta peluang untuk bermain, saya mendapat kecederaan yang bukan disebabkan kesalahan daripada diri sendiri sebaliknya daripada kekasaran pemain lain.
“ Namun ini adalah asam garam bola sepak dan saya kena bangkit daripada apa yang berlaku, harap saya mampu kembali bantu pasukan bagi harungi baki saingan Liga Super, ” katanya.
Darren mendapat kecederaan itu semasa aksi bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 17 Mac sebelum kesannya dapat dirasai pada perlawanan berikutnya semasa membantu PJ City menewaskan Sri Pahang FC 1-0 yang menyaksikan dia hanya sempat bermain selama 25 minit.
Dia sebelum itu telah menjaringkan dua gol semasa seri 2-2 dengan Melaka United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan gol kemenangan ketika menewaskan Sabah FC.
Penyerang yang bakal menginjak umur 30 tahun pada 18 September ini mengakui semakin selesa di PJ City kerana membuka ruang kepadanya bertindak selaku penyerang selepas sukar meraih peluang beraksi di posisi tersebut semasa di Terengganu FC, musim lalu dan sudah mula menanam cita-cita untuk kembali bersama skuad kebangsaan pada masa akan datang.
“ Selepas tinggalkan Terengganu, sememangnya saya mahu mendapatkan pasukan yang boleh memberikan lebih banyak ruang saya untuk bermain serta beraksi di posisi penyerang.
“ Saya tidak kata saya patut mula dalam tiap perlawanan tetapi sekurang-kurangnya tetap diberi sedikit ruang biarpun bermula dari bangku simpanan namun sememangnya sukar kerana posisi penyerang sering kali diisi pemain import.
“ Semua orang tahu saya pernah mendapat tempat dengan pasukan kebangsaan pada beberapa tahun lalu dan impian itu masih kekal sebagai salah harapan besar saya di masa akan datang.
“ Biarpun tidak lagi terpilih buat masa ini, saya tetap mengharapkan kejayaan skuad negara dalam tiap perlawanan yang mereka lalui dan diharapkan mereka mampu meraih kemenangan ke atas Vietnam pada Sabtu ini, ” katanya.