Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia Datuk Misbun Sidek sekali lagi menzahirkan rasa puas hati terhadap pemain pemain yang beraksi di Playoff 100PLUS Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan 2020 yang berakhir semalam.

Perbandingan yang dilihat ketika saingan 100PLUS Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan 2020 yang telah berlangsung dari 12 hingga 16 Oktober lalu menunjukkan perkembangan yang positif.

“Melihat daripada keseluruhan playoff kali ini, ada yang saya lihat mereka menyerlah daripada aspek keluar daripada zon selesa kerana pemain pemain ini mereka tidak pernah bertanding dengan pemain daripada kumpulan yang lebih tinggi dan banyak bermain secara selamat.

“Ada yang saya lihat ketika cabaran pada Oktober lalu mereka kalah, kali ini dia bangun dengan permainan yang lebih baik. Secara keseluruhan, prestasi permainan yang semakin panjang persepsi saya adalah stamina mereka semakin meningkat,”kata Datuk Misbun.

Tambahnya lagi, dengan keadaan semasa dimana pemain pemain remaja ini ‘berkampung’ di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sejak Julai lalu susulan penularan wabak Covid 19 tampak memberi impak yang positif.

Modul dan sistem latihan yang disusun bersama barisan kejurulatihan tampak dilandasan terbaik.

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, soal menang dan kalah bukan perkara utama, tetapi Datuk Misbun dan barisan kejurulatihan mahu melihat peningkatan prestasi serta belajar untuk memiliki karisma sebagai pemain yang berkualiti.

Playoff 100PLUS Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan 2020 berlangsung di Stadium Juara Bukit Kiara bermula 4 hingga 6 November dan dilangsungkan secara tertutup.

24 pemain terlibat dalam playoff ini bagi menentukan ranking mereka dalam pasukan remaja kebangsaan.

Ini adalah pertandingan kedua dalaman anjuran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas saingan peringkat kumpulan 100PLUS Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan 2020 yang berlangsung dari 12 hingga 16 Oktober lalu.

- Advertisement -