29th SEA Games KL2017 - Hoki Wanita Malaysia - Jurulatih Muhammad Dharma Raj Abdullah

Pasukan hoki wanita negara menamatkan saingan di temasya Sukan Komanwel 2018 di tempat kelapan setelah tewas 2-4 kepada Scotland dalam aksi penentuan di Stadium Hoki Gold Coast pada Khamis.

Ia sekaligus menjadi pencapaian yang lebih buruk berbanding tempat ketujuh di Glasgow empat tahun lalu buat Malaysian Tigress bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu. 

Pada perlawanan tersebut, Malaysia ketinggalan 0-3 menerusi jaringan Millie Brown pada minit kelima dan Amy Brodie pada minit ke-22 dan 27 sebelum bangkit mengurangkan defisit jaringan menerusi Fatin Shafika Sukri dan Nuraini Rashid.

Namun di kala Malaysia bekerja keras memburu gol penyamaan, Lucy Lanigan memastikan impian untuk menjelmakan kebangkitan sensasi berkubur apabila meledak jaringan keempat pada minit ke-51.

“Kita lambat panas menyaksikan kita ketinggalan 0-3 di separuh masa. Saya cuba untuk kembalikan keyakinan mereka selepas itu dan kita berjaya dapatkan dua jaringan.

“Dengan pilihan pemain yang terhad dan kekurangan kekuatan di bangku simpanan, adalah sukar kita mengimbangi permainan. Saya terpaksa kurangkan pertukaran pemain dan bergantung kepada pemain utama, kita telah mengharungi lima perlawanan yang cukup mencabar sebelum ini dan pemain terlalu kepenatan.

“Memang bukan pencapaian baik kalau tengok pada kedudukan, tetapi kita nilai prestasi secara keseluruhan dan apa yang positif adalah peningkatan ditunjukkan Fatin Shafika, Wan Norfaezah (Sauiti) dan Hanis Nadiah Onn yang membuktikan mereka ada kualiti menjadi pemain bertaraf dunia,” ujar Dhaarma.

Untuk rekod, hoki wanita di Sukan Komanwel membabitkan 10 pasukan dengan skuad negara diletakkan di dalam Kumpulan A bersama-sama pasukan nombor dua dunia England, Afrika Selatan, India dan Wales.

Hanya satu kemenangan dilakar iaitu ke atas Wales, satu seri ketika menentang Afrika Selatan dan selebihnya berakhir dengan kekalahan menyaksikan Malaysia Tigress menamatkan aksi peringkat kumpulan di tempat keempat. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -