Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Presidennya, (Dr) Ong Shin Ruenn, K.M.N., P.P.W., atas penganugerahan Pingat Kelakuan Terpuji (P.K.T.) bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Ke-85 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib.

Penganugerahan tersebut merupakan satu pengiktirafan bermakna terhadap jasa, kepimpinan dan komitmen berterusan beliau dalam memperkasa pembangunan sukan orang pekak di Malaysia, di samping memperjuangkan hak, kebajikan dan kesejahteraan komuniti orang pekak di negara ini.

Sepanjang menerajui MSDeaf, Dr Ong Shin Ruenn memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan ekosistem sukan orang pekak melalui pembangunan atlet, pengukuhan pentadbiran persatuan serta memperluaskan peluang penyertaan atlet di pentas kebangsaan dan antarabangsa. Usaha berterusan beliau turut menyumbang kepada peningkatan kesedaran masyarakat terhadap potensi dan keupayaan golongan orang pekak.

Sebelum ini, beliau turut menerima beberapa pengiktirafan berprestij iaitu Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (P.P.W.) dan Kesatria Mangku Negara (K.M.N.), sekali gus membuktikan dedikasi serta sumbangan beliau kepada masyarakat dan negara sentiasa mendapat penghargaan di peringkat tertinggi.

Sebagai seorang Orang Kurang Upaya (OKU) Pekak, pencapaian Dr Ong Shin Ruenn membuktikan bahawa kekurangan pendengaran bukanlah halangan untuk mencapai kecemerlangan, menerajui organisasi di peringkat nasional serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara.

“Kejayaan ini juga menjadi lambang bahawa golongan OKU mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan masyarakat lain, selain memainkan peranan penting dalam membentuk sebuah negara yang lebih inklusif, progresif dan menghargai kepelbagaian,”kata Dr Ong Shi Ruenn.

MSDeaf percaya pengiktirafan yang diterima oleh Dr Ong Shin Ruenn bukan sahaja membanggakan komuniti orang pekak, malah menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus berusaha, berbakti dan mencapai kecemerlangan tanpa mengira cabaran atau kekurangan yang dihadapi.

Persatuan turut menzahirkan harapan agar beliau terus dikurniakan kesihatan yang baik, kekuatan dan kejayaan dalam meneruskan agenda pembangunan sukan orang pekak serta memperjuangkan pemerkasaan komuniti OKU demi manfaat generasi masa hadapan.

Sekali lagi, seluruh warga Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada (Dr) Ong Shin Ruenn, K.M.N., P.P.W. atas penganugerahan Pingat Kelakuan Terpuji (P.K.T.). Pengiktirafan ini merupakan satu kebanggaan besar buat komuniti orang pekak Malaysia dan menjadi pemangkin untuk terus melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

- Advertisement -