rp_20121210_football_azraai-khor-abdullah-300x2351.jpg
Azraai

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengakui potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dibuat persatuan itu terhadap pemain dan pegawainya, hanyalah sekadar ‘wayang’ di atas kertas.

Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Ibrahim berkata walaupun dalam penyata gaji pemain dan pegawai tertulis dengan jelas bahawa potongan dibuat atas tujuan caruman, caruman itu tidak dapat dilakukan berikutan krisis kewangan meruncing yang dialami persatuan itu.  

“Semua harus faham KAFA menghadapi masalah kewangan, wang yang dipotong itu hanya atas kertas, wangnya tiada. Macam mana nak carum bila wang tiada, kerana itu kita tidak buat bayaran dengan KWSP,” jelas Ismail ketika dihubungi www.sports247.my

Begitupun Ismail dilihat keberatan untuk menjawab dengan lebih jelas apa langkah atau jalan penyelesaian yang telah diusahakan KAFA bagi mengatasi isu ini pada ketika mereka kini sedang ‘bermain’ dengan hak pekerja mereka dan boleh diambil tindakan lebih berat seandainya perkara ini dibawa kepada pihak berwajib.     

Sebelum ini, sports247 mendedahkan keluhan bekas pengendali Kelantan, Azraai Khor Abdullah yang membidas persatuan itu kerana berterusan melengahkan pembayaran gaji tertunggaknya ketika membimbing TRW tahun lalu serta tidak membuat caruman KWSP dan LHDN walaupun potongan gaji sudah dibuat.

Azraai berkata dia tidak mahu menjadikan perkara ini isu besar dan mahu mencari penyelesaian terbaik namun hilang sabar dengan sikap acuh tak acuh persatuan itu yang berdiam diri tanpa memberi sebarang maklumbalas. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam berkata tindakan KAFA adalah salah di sisi undang-undang dan mungkin boleh diambil tindakan seandainya perkara itu dilaporkan.

“Perkara ini perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Statut FAM kerana ia adalah membabitkan isu berkanun. Lagipun, perkara ini berlaku sebelum FMLLP mengambil alih dan ia bukan di bawah bidang kuasa kita, tetapi sudah tentu kalau kita ada kuasa mereka akan dikenakan tindakan,” jelasnya.   

Dalam pada itu, mengenai tuntutan Azraai, Ismail berkata jurulatih berusia 63 tahun itu tiada hak untuk menuntut tunggakan gaji selama sebulan (Jun 2015) itu kerana Azraai meletakkan jawatan tanpa sebarang notis.

“Azraai mesti faham dia yang membatalkan kontrak dengan meletak jawatan tiba-tiba, bukannya KAFA yang singkirkan dia. Ditinggalkannya pasukan terkapai-kapai tanpa jurulatih, jadi KAFA juga ada hak dalam kes ini. Sebulan gaji itu sebagai pampasan kepada KAFA. Dalam mesyuarat pengurusan KAFA sebelum ini, kita telah menghantar wakil untuk berunding dengannya,” kata Ismail.

Untuk rekod, Azraai dilantik sebagai ketua jurulatih The Red Warriors pada penghujung Mac tahun lalu dalam usaha memperbaiki prestasi pasukan itu yang bergelut menunjukkan prestasi terbaik di bawah kendalian George Boateng.

Namun, karier Azraai di Kota Bharu hanya bertahan tiga bulan apabila bekas pengendali Kedah dan Negeri Sembilan itu memilih untuk melepaskan jawatannya pada awal bulan Julai dengan notis 24 jam gara-gara tidak tahan dengan campur tangan ‘tangan ghaib’ yang didakwa cuba mencampuri urusan pengendalian pasukan sejak dari awal dia memulakan tugas.

Meskipun tidak banyak yang berjaya dilakukan jurulatih yang membawa Kedah dua kali bergelar juara treble itu ketika bersama Kelantan, di mana Kelantan mencatat tiga kemenangan, dua seri dan tujuh kekalahan dalam keseluruhan 12 perlawanan di bawah kendaliannya, Azraai tetap berjaya membawa Kelantan melangkah ke final Piala FA, tewas 1-3 kepada Lions XII.

- Advertisement -