Kejayaan pasangan beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020 nyata tidak berakhir dengan keletihan semata mata apabila menerima durian runtuh berjumlah RM180,000.

Aaron Chia dan Wooi Yik yang juga duta minuman isotonik nombor satu negara, 100PLUS menerima insentif daripada 100PLUS berjumlah RM 60 000 serta insentif RM120,000 daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM)

BAM juga menghargai barisan kejurulatihan beregu lelaki yang diketuai Flandy Limpele, apabila turut menerima RM30,000. 

Penghargaan juga diberikan kepada pemenang pingat emas badminton Paralimpik yang pertama Cheah Liek Hou, dimana Presiden BAM, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan insentif RM200,000, sementara jurulatihnya Datuk Rashid Sidek akan menerima RM50,000.

Aaron-Wooi Yik menewaskan pasangan pilihan kedua dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 17-21, 21-17 dan 21-1 4, dalam perlawanan penentuan pingat gangsa di Musashino Forest Sports Plaza, pada 31 Julai lalu.

INSENTIF OLEH 100PLUS

Sementara Liek Hou pula menjadi pemenang pingat emas Paralimpik pertama bagi acara badminton, selepas acara itu buat pertama kalinya dipertandingkan di Paralimpik Tokyo, dengan menewaskan pemain nombor satu dunia Dheva Anrimushti dari Indonesia, 21-17, 21-15 pada perlawanan akhir perseorangan lelaki SU5 di Yoyogi National Stadium pada 4 Sept.

“BAM mengiktiraf kerja keras, komitmen dan pengorbanan pasukan, pemain-pemain ini meninggalkan semua untuk ke gelanggang, dan berjuang demi kebangaan dan kejayaan Jalur Gemilang. Aaron-Wooi Yik kini merupakan pemenang pingat Olimpik keenam dalam badminton.

“Sebelum ini, pemain akan berada dipuncak pada usia 26-27 tahun, namun kini kita mempunyai pemenang pingat Olimppik pada usia muda iaitu 24. Jadi kita akan mengekalkan pasukan ‘senior’ yang lebih muda dan pada masa yang sama telah ada satu pasukan elit daripada ‘junior’ yang akan bertanding dengan ‘senior’ dan pemain bebas dalam satu kejohanan yang sama,” kata Mohd Norza.

Sementara itu Mohd Norza berkata, BAM kini sedang melihat kemungkinan mengkaji semula gaji dan bonus kepada pemain dan jurulatih mengikut suku tahunan, berdasarkan kepada prestasi dan kedudukan ranking dunia.

“Sebagai contoh, saya melihat kepada peningkatan 100 peratus pada gaji pemain dan bonus mereka, jika mereka berada dalam kedudukan 10 pemain terbaik. Sebagai contoh, jika mereka menerima RM15,000 sekarang, dan jika mereka menduduki ranking kedua dunia, mereka akan menerima RM30,000 sebulan.

“Tetapi kita juga perlu mengekalkan ‘status quo’ untuk sebahagiannya. Kerana kita hanya mahu memastikan semua pemain kita berusaha sepenuhnya untuk menduduki 10 terbaik, secara amnya ia juga meliputi kemudahan mereka, tiket penerbangan kelas perniagaan dan perkara-perkara seperti itu,” katanya.

“Di pusat kecemerlangan ini, kami mengamalkan budaya baharu, iaitu kami akan memberikan ganjaran atas prestasi dan menjaga mereka, termasuk kebajikan. Pemain muda menunjukkan tekad dan mendapat inspirasi daripada kejayaan Aaron-Wooi Yik untuk melakukan dengan lebih baik lagi,” katanya.

Mohamad Norza juga mendedahkan dalam mesyuarat bersama pemain dan jurulatih, yang beliau berjanji akan memberikan insentif RM1 juta untuk setiap seorang, sama ada perseorangan ataupun acara beregu, jika mereka berjaya memenangi pingat emas Olimpik.

- Advertisement -