Jika mahu mengorak langkah lebih jauh dalam karier, pemain muda yang semakin mencipta nama Nik Akif Syahiran Nik Mat tidak boleh kekal di Kelantan.
Pemain berusia 19 tahun itu dilihat mempunyai masa depan cerah dengan potensi yang ditunjukkannya ketika ini tetapi dengan pelbagai kemelut yang melanda pengurusan sejak dua atau tiga tahun kebelakangan, sukar untuk kita diyakinkan bahawa mana-mana pemain muda dapat mengembangkan potensi mereka menjadi lebih baik di Kelantan.
Itu belum lagi mengambil kira masalah kewangan meruncing dihadapi Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA). Justeru, Nik Akif perlu membuat keputusan berani untuk berpindah sekiranya mendapat tawaran daripada pasukan lain.
Nik Akif diserap ke dalam skuad utama Kelantan musim ini dan namanya mula menjadi bualan selepas dia membantu skuad negara mencipta sejarah menjulang Kejuaraan AFF B-19 buat pertama kali dengan menjaringkan dua gol pada aksi final menentang Myanmar.
Dia turut membantu cabaran skuad Ong Kim Swee di Sukan Asia dan terbaru telah dipanggil memperkuatkan skuad senior bimbingan Tan Cheng Hoe.
Prestasi meningkat naik ditunjukkannya itu dilaporkan berjaya menarik perhatian beberapa kelab lain termasuk sebuah pasukan dari Thailand justeru jika peluang itu hadir, dia perlu berani menyahut cabaran itu tanpa ragu.
Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan sebelum ini telahpun menyatakan bahawa pemain itu ada dalam perancangan pasukan untuk musim depan tetapi mengakui ianya sukar untuk mengekalkannya bersama mereka.
Bibi juga sedar Kelantan tidak dapat bersaing dengan pasukan yang mempunyai kekuatan kewangan dan menyatakan kesediaan melepaskan Nik Akif demi masa depannya jika benar ada pasukan yang berminat.
âSetakat ini kami belum menerima apa-apa tawaran untuk Nik Akif, jika ada kami sedia berunding. Kalau kelab yang menawarkan kontrak lebih baik dan dapat membawa Nik Akif ke peringkat lebih jauh, tidak salah untuk melepaskannya demi masa depan dia.
âTapi, dia masih mempunyai kontrak dengan kami untuk beberapa tahun lagi dan sebarang perpindahan mungkin membabitkan tebus kontrak yang agak tinggi.
âKami ada perjanjian tambahan dalam kontrak yang mana kedua-dua pihak, pengurusan dan pemain mempunyai hak bersama supaya pemain juga dapat berusaha untuk meningkatkan prestasi demi kerjaya serta masa depan mereka.”
Dengan Kelantan sudahpun tersingkir ke Liga Premier musim depan, ia menambahkan lagi kebarangkalian pemain kelahiran Kuala Krai itu akan angkat kaki mencari pasukan lain. – OLEHÂ MUHAMMAD AIMANÂ