Empat pasukan diketuai tuan rumah Malaysia, Thailand, Brunei dan Singapura akan berentap bagi merebut pingat emas sukan Polo di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, pada Ogos. Sebagai rekod, sukan itu kembali disenaraikan sebagai acara berpingat di pentas Sukan SEA selepas 10 tahun.

Ketika kali terakhir sukan Polo dipertandingkan di temasya Korat 2007, Malaysia memenangi emas dengan menewaskan Singapura di perlawanan akhir manakala gangsa milik Thailand.

Malah, Malaysia juga merupakan pemenang emas pada edisi Singapura 1983.

Naib Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia, Dato’ Syed Budriz Putra berkata Malaysia boleh menjangkakan tentangan sengit hadir dari pasukan Thailand dan Brunei.

“Thailand mendapat sokongan yang begitu baik bagi pembangunan sukan Polo dan mereka begitu menyerlah dalam pertandingan-pertandingan yang disertai. Begitu juga Brunei jadi saya lihat mereka sebagai ancaman besar buat kita di dalam misi pertahan emas,” katanya.

Skuad polo negara yang akan turut diperkuatkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Brig. Jeneral YB Khairy Jamaluddin ketika ini giat menjalani latihan pusat di Pekan, Pahang.

Sukan polo di KL 2017 akan berlangsung dari 20-29 Ogos bertempat di Taman Ekuestrian, Putrajaya.

- Advertisement -