msn-2

Oleh Ku Mohd Lufti

Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan empat atlet yang beraksi di Sukan Malaysia KE 18, Sarawak Julai lalu gagal dalam ujian doping.

Dua daripadanya merupakan atlet dari sukan memanah manakala seorang masing masing dari sukan angkat berat dan tinju.

Perkara tersebut disahkan Ketua Unit Agensi Anti Dadah Malaysia (ADAMAS), S. Nishel Kumar dalam satu sidang media khas selepas mesyuarat bedah siasat SUKMA bersama sama wakil Majlis Sukan Negeri di Bukit Jalil.

Sebanyak 314 sampel diambil menerusi ujian air kencing dan alkohol melibatkan 12 jenis sukan.

“Tempoh ujian kita buat dari 20 sehingga 30 Julai.Ā  Jumlah atlet lelaki adalah 180 sampel manakala 134 sampel lagi daripada atlet wanita.

“Kesemua sampel telah dihantar ke makmal ujian doping yang diiktiraf oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA) di New Delhi, India, dan ADAMAS mengesahkan empat sampel air kencing didapati positif”.kata Nishel Kumar.

Tambah Nishel lagi, kesemua maklumat ini telahpun dimaklumkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali.

Dua atlet memanah disahkan positif menggunakan ‘sibutramine’, manakala atlet angkat berat pula menggunakan steroid manakala bahan ‘diuretic’ disahkan terdapat dalam ujian daripada atlet tinju.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan, kesemua maklumat tentang atlet yang terlibat tidak akan didedahkan sehingga selepas tarikh 15 Oktober depan.

Keputusan ujian akan diserahkan kepada atlet tersebut menerusi persatuan persatuan yang terlibat.

“Kita akan memberi tempoh sehingga 15 Oktober untuk atlet atlet tersebut samada membuat pengakuan mengikut format yang telah disediakan atau mencabar keputusan sekaligus mahu melakukan ujian sampel B.

Tambah Datuk Ahmad Shapawi, sesi pendengaran akan dijalankan selepas 15 Oktober untuk mengetahui keputusan daripada atlet atlet tersebut.

Untuk rekod, ketika SUKMA ke 17 di Perlis, Olahragawati SUKMA 2014, Jenelie antara tiga atlet yang disahkan gagal dalam ujian doping sekaligus dua pingat emas yang dimenangi dlm acara angkat berat ditarik balik.

- Advertisement -