Kuala Lumpur telahpun mengesahkan tempat mereka dalam saingan Liga Super musim depan setelah lima musim beraksi dalam saingan 100Plus Liga Premier.

Skuad warga kota itu yang beraksi ala kadar sejak beberapa musim lalu mengharungi 2017 yang cemerlang setelah melakar 15 kemenangan dari 21 perlawanan diharungi dan merajai carta liga dengan 47 mata dengan baki satu perlawanan untuk ditamatkan.

Pengendali pasukan itu, Fabio Maciel bagaimanapun tidak mahu sekadar berpuas hati dengan pencapaian itu sebaliknya menuntut barisan pemainnya menamatkan musim dengan gah selaku juara Liga Premier dengan menewaskan Johor Darul Takzim II dalam aksi terakhir 27 Oktober depan.

ā€œSemua jurulatih mahu menjadi juara, tidak terkecuali saya. Sudah tentu keutamaan kami adalah untuk naik ke liga utama tetapi dalam karier kejurulatihan saya sepanjang enam tahun, saya tidak pernah berpeluang memenangi sebarang kejuaraan.

ā€œKali ini peluang terbuka luas bukan sahaja untuk diri saya, tetapi untuk semua penyokong pasukan ini juga yang sudah 17 tahun tidak merasai nikmat menjulang trofi,ā€ kata Fabio ketika dihubungi Sports247.

Untuk rekod, kali terakhir Kuala Lumpur menjulang trofi adalah pada tahun 2000 apabila mereka bergelar juara Piala Sumbangsih dengan menewaskan Brunei menerusi tendangan penalti.

Dengan hanya beza jaringan mengatasi pasukan tangga kedua, Terengganu yang turut layak beraksi di Liga Super musim depan, Fabio sedar pasukannya perlu berada pada tahap prestasi terbaik untuk memastikan kemenangan di Stadium Pasir Gudang nanti.

Ā ā€œSeri atau tewas akan menyaksikan kejuaraan terlepas ke tangan Terengganu seandainya mereka menewaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP). Kami sudah semakin hampir sudah tentunya saya tidak mahu kami akhirnya berputih mata. Ia satu situasi yang cukup mendebarkan.

ā€œSaya akui rehat terlalu lama turut membimbangkan saya, khuatir mereka hilang momentum. Namun pemain-pemain bekerja keras setiap hari mengekalkan kecergasan dan stamina, semua mempunyai mentaliti mahu menjadi juara dan ini meyakinkan saya,ā€ tambah Fabio.

Mengenai masa depannya, Fabio menjelaskan dia telah menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun bersama Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (PBKL) namun dia belum bersedia mendedahkan perancangan yang telah dirangka bagi menghadapi musim baru. Ā 

Jurulatih kelahiran Brazil itu dilantik membimbing skuad Kuala Lumpur pada April lalu sebagai menggantikan Wanderley Junior yang sekadar mencatat empat kemenangan dalam 10 perlawanan pertama dalam semua pertandingan.

Dia berjaya merubah nasib pasukan itu yang berada di tangga kelapan ketika itu untuk akhirnya kembali ke Liga Super dengan catatan 12 kemenangan dari 13 perlawanan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -